Persatuan nelayan tuntut komitmen calon PRN kekal kelestarian alam

Iklan
Zakaria (tiga dari kanan) bersama komuniti nelayan mengemukakan lima tuntutan daripada calon-calon PRN Pulau Pinang

BAYAN LEPAS - Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) mendesak calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang untuk memberi perhatian terhadap lima tuntuan nelayan di negeri ini bagi kepentingan alam sekitar dan kelestarian laut.

Naib Pengerusi Pen Mutiara, Zakaria Ismail berkata, ketika ini pantai dan ekosistem marin Pulau Pinang menghadapi pelbagai cabaran termasuk projek penambakan yang meleluasa, pencemaran laut, dan perlindungan yang tidak memadai bagi nelayan pantai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai wakil komuniti nelayan, pihaknya meminta calon-calon untuk memberi keutamaan kepada tuntutan-tuntutan nelayan terhadap isu-isu mendesak dan menuntut tindakan segera daripada mereka.

"Aktiviti penambakan laut yang tidak terkawal dan tidak mampan di Pulau Pinang membahayakan ekosistem marin dan mata pencarian nelayan pantai kami," katanya pada sidang akhbar di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, pihaknya turut mendesak calon-calon PRN Pulau Pinang untuk menghentikan projek-projek penambakan yang dalam perancangan dan yang baharu diluluskan serta meneroka alternatif ekonomi mampan yang tidak mengorbankan alam sekitar kami.

"Bagi menggalakkan pertumbuhan Ekonomi Biru (Blue Economy), kerajaan Pulau Pinang perlu menerima pakai dan melaksanakan strategi Ekonomi Biru, di mana pertumbuhan ekonomi yang mampan, harus sejajar dengan pemeliharaan lautan.

Iklan

"Contohnya, sektor ekopelancongan marin patut digalakkan. Operasi ekopelancongan seperti program inap desa, lawatan destinasi flora, fauna dan sumber semula jadi dan aktiviti memancing dapat merangsang ekonomi tempatan serta memperkasakan Persatuan Nelayan Pulau Pinang," ujarnya.

Selain itu, Zakaria turut menuntut calon-calon PRN Pulau Pinang memasukkan komitmen konservasi dan pemeliharaan laut untuk melestarikan serta memelihara sumber-sumber marin.

Tegasnya, calon perlu berjanji untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat agar pencemaran laut dikurangkan, habitat-habitat penting dilindungi, dan amalan menangkap hasil laut secara bertanggungjawab digalakkan.

Selain itu, Pen Mutiara berharap agar kerajaan dapat mengiktiraf kampung nelayan sebagai tapak warisan berikutan banyak kampung-kampung nelayan di Pulau Pinang mempunyai kepentingan sejarah dan budaya yang bernilai.

"Contohnya, kawasan Perkampungan Nelayan Teluk Kumbar yang memiliki catatan sejarah sejak tahun 1880. Kami menyeru kepada calon yang menang dalam PRN ini untuk mengesyorkan kepada pihak berkuasa agar kawasan komuniti nelayan di Pulau Pinang dijadikan sebagai Tapak Warisan.

"Ini mampu memastikan perlindungan komuniti pesisir pantai serta memelihara tradisi dan cara hidup mereka," katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya turut menggesa agar kerajaann menubuhkan pelan induk strategik bagi ketahanan iklim di Pulau Pinang kerana perubahan iklim membawa cabaran yang besar kepada komuniti pantai.

Jelasnya, adalah penting bagi kerajaan negeri untuk membangunkan dan melaksanakan pelan strategik yang membantu komuniti nelayan pantai kami untuk menyesuaikan diri dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim.

"Ini termasuk menyediakan infrastruktur dan sumber yang diperlukan, latihan, dan sokongan untuk memastikan mata pencarian mereka terpelihara. Calon PRN yang menang mesti mendukung dan memperjuang pelan ini.

"Persatuan Nelayan Pulau Pinang beriltizam untuk bekerjasama dengan calon yang dipilih pleh rakyat pada pilihan raya Negeri Pulau Pinang untuk menangani kebimbangan ini dan membangunkan satu pelan yang adil dan strategik bagi nelayan pantai yang menekankan matlamat pembangunan mampan," tambahnya.