SEREMBAN - Tidak sampai seminggu berkempen, kayu bendera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang diletakkan di jalan utama Rimbun Vista di sini dipatahkan pihak tidak bertanggungjawab.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertamadun dan tidak selaras dengan pendekatan Malaysia Madani.
Katanya, beliau menerima laporan berkenaan vandalisme tersebut pada Jumaat dan mendapati 19 kayu bendera telah dipatahkan.
"Dalam suatu negara yang mengamalkan demokrasi, pengundi boleh menggunakan peti undi untuk menolak seseorang calon dan bukannya merosakkan bahan kempen.
"Tambahan pula kayu yang patah itu boleh menyebabkan risiko kecederaan kepada orang lain sebab ia tajam," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau berkata, pasukan sukarelawannya terpaksa melakukan kerja berganda disebabkan tindakan tersebut.
"Saya menghargai usaha pasukan sukarelawan saya yang begitu gigih dan rajin. Mereka berjaya memasang 1,200 bunting dan 16 billboard dalam masa 30 jam selepas penamaan calon.
"Bagaimanapun saya akan mengambil iktibar daripada pengundi yang tidak memilih saya selain menyemak dan membuat penambahbaikan," katanya.
Pada pilihan raya negeri (PRN) ini, kerusi DUN Bukit Kepayang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Nicole Tan (PH-DAP) dengan calon Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN), P Subramaniam dan calon Bebas, Ahmad Zamali Mohamad.