SHAH ALAM - Inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun antara tawaran Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.
Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, inisiatif itu dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.
Selain itu katanya, inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun juga akan diwujudkan dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur
"Kita juga menawarkan pengecualian bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor utara dan menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor di Hotel Double Tree Shah Alam di sini malam Jumaat.
Muhyiddin menambah, skim Rumah Pertama Darul Ehsan yang merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda akan diwujudkan.
"Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dan kemudahan pengangkutan percuma Van Selangor Care bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan diperluaskan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS)," katanya.
Tawaran berkenaan merupakan antara tawaran-tawaran PN bagi negeri Selangor kepada pengundi-pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos akan datang.
Menurut Muhyiddin, tawaran PN Selangor ini adalah tawaran yang realistik serta boleh dilaksanakan.
"Berkat pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh bakal kepimpinan kerajaan negeri PN di Selangor, kami yakin bahawa semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan berkesan," katanya.