ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai pendirian teguh dalam mempertahankan partinya.
Beliau berkata, walaupun Timbalan Perdana Menteri itu berdepan dengan pelbagai pertuduhan kes di mahkamah, namun tetap mahu menyelamatkan UMNO daripada dibubarkan.
Menurutnya, sikap dan integriti Ahmad Zahid wajar dihargai dan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN harus dikukuhkan untuk keharmonian Kerajaan Perpaduan.
"Orang lain kalau Tun Dr Mahathir Mohamad panggil dan suruh tutup UMNO, kalau tak tutup nanti kena (tindakan).
"Namun abang saya (Ahmad Zahid) jawab tak boleh tutup kerana UMNO parti orang Melayu dan ada sejarah perjuangan kebangsaan. Saya ‘salute’ untuk itu,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Alor Setar di Alor Mengkudu di sini pada Jumaat.
Anwar menyifatkan tindakan berani Ahmad Zahid itu turut berisiko terhadap dirinya namun sanggup berdepan risiko demi untuk selamatkan UMNO.
"Yang lain lompat parti termasuk bekas menteri UMNO. Sekarang kita (PH-BN) akan menjadi pejuang Melayu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa hormat kepada bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan memiliki integriti yang tinggi.
"Sebab apa kita kasih kepada tuan guru Nik Aziz. Dia dari Pas tapi kita hormat sebab beliau ada integriti, tak ambil tanah, tak ambil balak dia tak curi.
"Tapi ada pula yang masih ada kuasa, tanah projek kamu sakau nak cakap banyak apa?” ujarnya.
Anwar sekali lagi menepis dakwaan mengadap Sultan Kedah bersama usahawan Indonesia, Reza Khalid untuk mendapatkan tanah di Kedah bagi tujuan penerokaan unsur nadir bumi (REE).
"Bukan saya panggil jumpa minta tanah, tak ada, bukan macam kamu dan rakan-rakan kamu. Saya tak gunakan kuasa curi harta rakyat untuk perkayakan diri dan ahli keluarga,” jelasnya.
Anwar turut meminta pengundi memilih Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN) selari dengan kempen ‘kalih bagi sama’ yang dilaungkan lebih 3,000 penyokong yang hadir pada program tersebut.
"Pastikan Kedah ini kita kalih bagi sama, sebab apa? Sebab senang nak runding macam-macam untuk manfaat rakyat.
"Program kita sekarang melonjak termasuk pelaburan di Kulim High Tech Park bawah Persekutuan, memang terletak di Kulim tetapi ia projek Persekutuan.
"Kita lakukan promosi pelaburan dan sediakan kemudahan serta strategi terutama bawah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Malah Arab Saudi setuju jadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan rantau ini, dengan itu kita harus pertingkatkan kemahiran untuk negara ini lebih maju,” jelasnya.