ALOR SETAR - Penularan wabak Covid-19 dalam negara pada awal 2020 menyebabkan seorang lepasan diploma dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra resah memikirkan masa depannya berikutan sukar mendapatkan pekerjaan ketika itu.
Namun, Mohd Zafri Ridhzuan yang baru saja menamatkan pengajian dalam bidang pemasaran enggan berputus asa lantas mengambil keputusan membantu perniagaan keluarganya yang menjual produk kampung seperti barangan kekabu dan ubat-ubatan.
Keputusannya itu tidak sia-sia apabila perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan kian berkembang sehingga mampu membuka beberapa perniagaan lain seperti kedai makan dan inap desa sejak tahun lepas.
Anak jati Kedah itu kemudiannya memohon bantuan geran daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada April lepas untuk mengembangkan perniagaan keluarga di Kampung Teluk Kandit, dekat sini.
"Saya sangat bersyukur kepada kerajaan kerana beri peluang untuk menaik taraf perniagaan menerusi kelulusan geran agropelancongan yang diterima pada bulan lepas,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mohd Zafri berkata, dia menerima geran berjumlah RM140,000 itu bagi membina beberapa infrastruktur untuk perniagaan kedai makannya termasuk sebuah dewan terbuka dan surau yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.
Menurutnya, perniagaan kedai makan yang diusahakan ketika ini mampu menyediakan ruang untuk kira-kira 200 pelanggan sehari yang membolehkannya mengaut keuntungan sekitar RM40,000 sebulan.
"Saya harap dengan adanya dewan terbuka dan surau itu nanti, kedatangan pelanggan dapat menjangkau 400 sehari dan meningkatkan keuntungan bulanan perniagaan sehingga 50 peratus berbanding sekarang,” katanya.
Dia juga berazam untuk mengoptimumkan bantuan geran daripada kerajaan itu dan memastikan perniagaannya terus berkembang dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
"Saya menyeru kepada anak muda terutama di Kedah untuk memohon geran yang disediakan kerajaan agar lebih ramai belia menyertai bidang perniagaan,” katanya. - Bernama