Perlis berpotensi jadi tarikan utama ekopelancongan

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin (tengah) ketika merasmikan promosi ‘Perlis - The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Los Angeles. - Foto ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra

KANGAR - Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Perlis berpotensi menjadi antara tarikan ekopelancongan utama pada masa hadapan.

"Beta sangat menyokong sebarang pelaburan dan percaya ekopelancongan akan menjadi satu trend pelancongan pada masa hadapan," titah baginda menerusi satu kenyataan yang di keluarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan promosi Perlis - The Undeniable Charm sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bersama pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Iklan

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat, Anil Fahriza Adenan serta Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia selaku tuan rumah.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Akbal berkata, antara destinasi dan produk ekopelancongan yang terdapat di Perlis ialah Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri dan Tasik Timah Tasoh di samping kedudukan negeri yang strategik terletak berdekatan Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.

Iklan

Beliau berkata, Perlis juga merupakan destinasi menarik untuk pengembaraan eko dan alam semula jadi.

"Kami sangat teruja untuk mempamerkan tarikan pelancongan yang indah dan unik di Perlis sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong Amerika Syarikat, terutamanya bagi mereka yang melawat Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

"Perlis merupakan sebuah negeri di utara Malaysia yang mempunyai bentuk muka bumi menarik dan keunikan tersendiri," katanya.

Pada majlis itu, YTSP turut memperkenalkan makanan tradisi Perlis iaitu Kurma Daging Perlis dan beberapa hidangan tradisional Malaysia. - Bernama