'Kalau saya disahkan kanser limfoma, siapa nak jaga Dhia'

Iklan
Dayang memeluk erat Dhia ketika ditemu bual pemberita di rumahnya di Sungai Lembing pada Sabtu.

KUANTAN - Demi kasihnya pada anak, ibu lima anak sanggup ketepikan keadaan kesihatan dialami semata-mata untuk menjaga anak bongsunya yang menghidap kanser saraf tunjang sejak tiga tahun lalu.

Keengganan Dayang Suhana Abdullah, 44, untuk membuat pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada dirinya menghidap kanser limfoma atau tidak disebabkan anaknya, Intan Nur Dayana Mohd Jusoh, 9, yang menghidap penyakit saraf tunjang mahu bersama ibu setiap masa untuk menjaganya.

Iklan
Iklan

Dia mengakui bimbang sekiranya pemeriksaan lanjut dibuat terhadap benjolan yang timbul pada lehernya itu menyebabkan Nor Dayana atau lebih mesra panggilan Dhia terabai susulan perlu menjalani pelbagai rawatan termasuk kimoterapi.

"Saya tidak sanggup hendak lepas anak saya, kalau saya sakit (disahkan kanser dan terpaksa jalani rawatan di hospital) siapa hendak jaga (Dhia) sedangkan Dhia hanya mahu dengan (dijaga) ibu (saya) sahaja.

Iklan

"Jadi demi Dhia, saya kena abaikan sakit saya dan buat sihat. Saya hendak berniaga (cari duit sara hidup) dan mahu jaga Dhia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Lembing pada Sabtu.

Sebelum itu, Dhia sekeluarga turut menerima ziarah daripada Persatuan Ziarah Sahabat Kanser yang diketuai Pengerusi persatuan itu, Zaki Yahya.

Iklan

Dalam sesi ziarah itu, Dhia turut menerima sumbangan berupaya susu, pakai lampin buang dan pelbagai barangan keperluan lain serta sebuah tablet jenama Samsung yang disumbangkan oleh sebuah syarikat.

Dayang memberitahu Dhia seorang kanak-kanak aktif, namun sakit kaki yang dialami secara tiba-tiba sekitar tahun 2021 menyebabkan tidak boleh berjalan.

Ujarnya, selepas seminggu dimasukkan ke hospital doktor juga mengesahkan Dhia menghidap kanser saraf tunjang tahap tiga ketika usianya enam tahun.

"Bila doktor beri tahu anak saya kena kanser, (pada masa itu) hanya ALLAH tahu, saya terduduk, meraung dan menangis.

"Saya tidak dapat membayangkan bagaimana (Dhia dapat kanser), sebab Dhia sihat. Dhia secara tiba-tiba tidak boleh berjalan, tidak boleh tidur, tidak boleh panas dan serabut. Tapi yang paling sedih Dhia budak yang ceria, lincah, tetiba tidak boleh jalan," cerita Dayang dengan nada sedih sambil memangku Dhia.

Dia yang bekerja sebagai peniaga roti canai memaklumkan Dhia bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Lembing pada mulanya tidak dapat menerima hakikat dirinya sakit.

Menurutnya, anaknya itu sering menangis dan selalu bertanya kenapa dirinya dengan kanser sedangkan adik beradiknya yang lain sihat.

"Kalau dulu Dhia selalu menangis dan tidak boleh terima kesakitan dihadapi, tapi kini nampak Dhia secara perlahan-lahan sudah mampu terima hakikat hidup," katanya.

Dayang turut memberitahu Dhia sudah menjalani 10 kali kimoterapi selepas disahkan menghidap kanser terbabit.

Jelasnya, kini Dhia hanya perlu menjalani fisioterapi, selain rawatan susulan seperti imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

"Itu antara rawatan yang perlu Dhia jalani. Jadi, saya sebagai ibu sentiasa memastikan rawatan terbabit dijalani dengan harapan Dhia dapat kembali sihat seperti sedia kala," katanya.

Menyentuh kos perbelanjaan Dhia, Dayang memaklumkan sebanyak RM1,000 dibelanjakan setiap bulan bagi membeli lampin pakai buang, susu formula khas dan lain-lain keperluan Dhia.

Dia mengakui bantuan daripada pusat zakat sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM500 banyak membantunya dalam memenuhi keperluan Dhia.

Ujar Dayang, bagi menampung perbelanjaan lain seperti sewa rumah, membayar bil utiliti dan makan harian dia perlu berniaga dengan menjual roti canai di Pekan Sungai Lembing.

"Dalam seminggu dua tiga kali saya berniaga dan dapat hasil dalam RM20 hingga RM40 sehari. Wang itu saya kumpul sedikit untuk teruskan hidup.

"Saya juga ada mendapat sumbangan daripada jiran dan saudara mara terdekat kerana mereka faham keadaan yang yang tidak pendapatan tetap," katanya.

Dalam pada itu, Dayang meminta orang ramai supaya dapat menyumbang kerusi roda baharu buat Dhia memang kemudahan yang ada sudah tidak sesuai dengannya.

Kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Dayang di talian 011 29857822.

Zaki (duduk, kiri) bersama Dhia (tengah) ketika mengadakan ziarah di rumah kanak-kanak berusia sembilan tahun itu di rumahnya di Sungai Lembing di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Zaki berkata, pihaknya akan cuba menunaikan hasrat adik Dhia untuk melancong ke Legoland, Johor Bharu.

"Insya-ALLAH adik Dhia akan terpilih menjadi salah seorang anak kanser yang akan dibawa untuk tunaikan impiannya," katanya ringkas.