KUALA LUMPUR – Populariti dan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dikatakan berpunca daripada segelintir kelompok perasuah yang kurang senang dengan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan baharu.
Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan yang mengamalkan rasuah itu merasakan pemerintah yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu kini mendatangkan masalah kepada mereka.
"Saya akui kemerosotan sokongan terhadap kerajaan PH, mereka yang tak berpuas hati ini terdiri daripada golongan tidak lagi dapat menikmati upah tambahan daripada punca lain yang kita anggap sebagai rasuah.
"Hal ini kerana kerajaan PH mengambil tindakan, kita menyelidik, jika didapati perbuatan mereka salah tindakan diambil.
"Sebab itu golongan ini rasakan mereka telah salah pilih kerajaan pemerintah kerana kini mendatangkan masalah untuk mereka mengambil rasuah,” katanya
Beliau berkata demikian pada program Bicara Khas bertajuk Malaysia Dinamik dan Bersih yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 di sini malam ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengakui, sukar untuk PH mendapatkan sokongan kukuh daripada rakyat yang masih mengamalkan amalan rasuah.
"Ini akan berterusan dalam kalangan sebilangan rakyat tapi tak semua. Tapi lama kelamaan mereka akan terima corak pemerintahan yang baharu ini.
"Dulu perasuah ini rasa bernasib baik kerana dapat upah daripada punca lain, sekarang dah tak boleh, Memang sukar untuk alih pemikiran mereka, ia akan mengambil masa,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH menjelaskan, beliau hanya memberikan markah 5 daripada 10 kepada Menteri Kabinet kerana masih banyak janji manifesto yang belum terlaksana namun, beliau tidak berhasrat melakukan rombakan Kabinet.
"Kita dapati kita tak dapat capai apa yang kita harapkan, kita orang baharu (tadbir negara).
"Menjadi pembangkang memang mudah sebab hanya mengkritik tak melakukan apa pun. Kita luahkan semua dakwaan melalui media sosial supaya rakyat beri pendapat kepada kita.
"Saya akui memang ada kecacatan tapi itu saja yang mereka (pembangkang) tumpu dan ada yang beri gambaran seolah-olah ia amat buruk,” jelasnya.
Dr Mahathir berkata, jika Kabinet dirombak ia tidak memberi sebarang perubahan sebaliknya segala perancangan terpaksa bermula daripada awal semula sedangkan menteri yang ada sekarang sudah mempunyai pengalaman selama setahun.
"Kalau tukar pun dapat orang baharu mungkin lagi baharu daripada yang digugurkan ini, sekurang-kurangnya mereka ini dah ada setahun pengalaman dalam Kabinet.
"Ambil menteri baharu maksudnya akan mulakan langkah pertama, lagi susah,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
Mengimbas kembali sejarahnya sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4 pada 1981, Dr Mahathir berkata beliau turut tidak disenangi malah tidak dihormati.
"Mengikut bancian asas semasa saya jadi Perdana Menteri pada 1981 pada mulanya ramai orang tak hormati saya pun, mereka kata saya orang baharu dan jawatan itu patut diberikan kepada orang lain..
"Saya ambil masa lima tahun untuk diterima ahli parti.
"Jadi Perdana Menteri kita mula belajar, masuk tahun kedua tentukan dasar dan pendekatan seterusnya pada tahun ketiga mula laksanakan dasar.
"Ini menteri PH baru setahun, bagilah mereka peluang. Tak sesiapa boleh berubah dalam hanya satu malam walaupun orang itu bijak dan cekap,” ujarnya.