Graduan UiTM, tetamu nyanyi lagu ulang tahun untuk Permaisuri Agong

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli ke Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 pada Sabtu diceriakan dengan nyanyian ulang tahun bagi Hari Keputeraan ke-63 Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hari Keputeraan Raja Permaisuri Agong dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum mengakhiri titah baginda pada istiadat konvokesyen itu.

Iklan
Iklan

"Saya nak keluarkan sikit rahsia, hari ini hari ulang tahun isteri tersayang saya, baru sweet 63. Kita sama-sama ucapkan selamat ulang tahun kepada Tuanku Permaisuri, ada yang nak nyanyi?” titah baginda di Dewan Agung Tuanku Canselor, pada Sabtu.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menyanyikan lagu ulang tahun"ALLAH Selamatkan Kamu” kepada Raja Permaisuri Agong yang turut dinyanyikan bersama para graduan dan hadirin.

Iklan

Tunku Azizah kemudian berkenan untuk bangun dan melambaikan kepada hadirin tanda terima kasih atas nyanyian itu.

"Kita doakan Raja Permaisuri Agong kekal keimanan dan kekal kecantikan, dan kekal taat pada suami, sentiasa masak untuk suami, berdakwah kepada suami.

Iklan

Permaisuri suka cakap pasal agama kepada saya, saya kena dengar sahajalah,” titah baginda.

Sidang pertama istiadat menyaksikan Seri Paduka Baginda yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 100 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 penerima Anugerah Graduan Terbaik.

Konvokesyen itu juga menyaksikan pengisytiharan pelantikan Pro Canselor baharu UiTM iaitu Datuk Prof Emeritus Dr Hassan Said dan Datuk Abdul Wahab Aziz. - Bernama