Keharmonian antara kerajaan perlu kerjasama dua pihak - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) ketika berucap pada Sembang Santai di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Sri Kota pada petang Jumaat.

KUALA KEDAH - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan keharmonian antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan memerlukan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, ada pihak mendakwa beliau enggan untuk berharmoni dengan kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, beliau sebenarnya bersedia berjumpa dengan pihak kerajaan Persekutuan pada bila-bila masa.

"Sekarang, saya ceramah Perikatan Nasional. Saya Pengarah Pilihanraya, ini masa saya main politik. Saya pun anggap ucapan-ucapan dia di pentas politik, dia berpolitik.Tetapi bila saya jadi MB (Menteri Besar) saya tak cakap lagu ni. Dia pun jadi PM (Perdana Menteri) tak bolehlah cakap lagu seperti politik itu," katanya.

Iklan

Beliau berucap pada Sembang Santai di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Sri Kota pada petang Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan calon PN Pengkalan Kundor, Mardiyyah Johari.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, beliau bercakap dengan tutur kata baik atas kapasiti sebagai Menteri Besar Kedah dan ia seharusnya dibezakan dengan ketika bercakap sebagai Pengarah Pilihanraya PN.

"Bukan (saya) angkuh, saya cakap bagi pihak negeri saya, rakyat saya, tanggungjawab saya. Inilah kerja menteri besar," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seseorang menteri besar itu perlu berani bersuara untuk kepentingan rakyat negeri di bawah pentadbirannya.

"Menteri Besar kena bersuara, baharu orang dengar suara dari negeri. Dulu-dulu, mana ada orang dengar Menteri Besar Kedah, orang tak peduli. Keberanian ini jarang ada (maka) kena simpan orang berani. (Orang) yang ini tiada jual di kedai, pinjam mana-mana," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya kini menumpukan usaha menjadikan 'negeri jelapang padi' sebagai ‘The Greater Kedah’.

"Sekarang, kita balik kepada usaha-usaha untuk membina untuk 'The Greater Kedah' yang kita telah gariskan daripada 2021 hingga 2035.

"Insya-ALLAH, Kedah akan muncul sebagai negeri yang hebat sepertimana yang telah dibina oleh nenek moyang kita dulu. Kedah ini negeri (yang) menjadi pusat perdagangan, pusat dakwah, pusat penyebaran Islam ke seluruh nusantara," katanya.

Beliau berkata, Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kulim (KXP) antara projek yang menjadi pemangkin kepada pembangunan 'The Greater Kedah', bagaimanapun mendapat halangan pihak tertentu.

Menurut beliau, KXP ini mengubah landskap ekonomi negeri Kedah, namun ia cuba dihalang supaya Kedah sebagai negeri pertanian untuk tanaman padi.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga calon PN DUN Jeneri memaklumkan, Kedah sebenarnya memiliki banyak kilang di negeri ini.