KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) Kelantan mahu menarik sekurang-kurangnya 100 undi daripada Orang Asli di Sungai Rual, Jeli dalam memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Naib Pengerusi PN negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, Orang Asli diakui setia menyokong Barisan Nasional (BN) semasa zaman parti itu memerintah negara dan masih mendapat sokongan sebahagian besar daripada mereka.
Menurut beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas itu, jumlah pengundi Orang Asli di Sungai Rual ialah 480 dan mereka masih kekal menyokong BN pada beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
"Pada PRU15, daripada keseluruhan 480 Orang Asli yang mengundi, PN meraih 24 undi manakala pada PRU sebelumnya hanya dua undi diperoleh di Sungai Rual.
"Perkara itu satu perkembangan yang baik dan pada PRN kali ini kita sasarkan undi Sungai Rual ni tidak kurang daripada 100 serta usaha akan dilakukan melalui petugas-petugas parti selain kempen-kempen di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini, pada Sabtu.
Kamarudin berkata, menjadi cabaran besar buat PN untuk merubah kerangka pemikiran komuniti itu yang amat teguh dipegang sejak beberapa generasi.
Ujar beliau, kerjasama bagi meraih sokongan mereka terhadap PN juga akan dilakukan dengan melibatkan pemimpin-pemimpin dalam kalangan Orang Asli itu sendiri.
"Orang Asli taat pada sistem pemerintahan dan institusi raja. Ditambah pula Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) adalah satu jabatan di bawah kerajaan pusat menyebabkan mereka menyokong parti BN sebelum ini.
"Kami akan usaha merubah kerangka pemikiran yang sudah berpuluh-puluh tahun dan bergenerasi ada dalam kalangan Orang Asli. Langkah anjakan paradigma ini bukan sesuatu hal yang mudah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berdepan calon muda Nasrul Hadi Kamaruzaman dari BN berkata, tidak gentar dengan lawannya berdasarkan pengalaman selama lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia politik terutama di Kelantan.
"Saya anggap dia sebagai anak dan yang penting saya fokus untuk meningkatkan akses talian telefon, internet dan memperkasakan agropertanian daripada getah kepada tanaman sawit di DUN Ayer Lanas,” kata Kamarudin.
Pada PRU14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed Mustapa Mohamed atas tiket BN sebelum bekas Ahli Parlimen Jeli tersebut beralih ke Bersatu.