KUALA TERENGGANU - Pembangkang disifatkan ketandusan idea dengan menjadikan isu kenaikan kos sara hidup sebagai modal dalam kempen politik sempena pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kempen dalam ceramah tanpa data dan fakta yang sebenar hanya akan mengelirukan rakyat.
"KPDN juga terus memperkasakan inisiatif payung Rahmah untuk terus membantu rakyat di seluruh negara agar rakyat mendapat untung (penjimatan),"katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Jualan Rahmah di Tapak Pasar Malam Tok Adis, di sini, pada Sabtu.
Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan juga telah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk menangani kos sara hidup rakyat di bawah inisiatif payung Rahmah.
Jelas beliau, program Jualan Rahmah anjuran KPDN juga diadakan di seluruh negara sepanjang masa dan tidak tertumpu kepada hanya enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.
"Bukan sahaja di Terengganu, tapi program ini berlangsung di seluruh negara termasuk Sarawak, Melaka dan Johor (yang tidak terlibat PRN).
"Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Jualan Rahmah, kita akan teruskan ke semua Parlimen dan DUN termasuk di Terengganu selepas ini," katanya.
Justeru, Fuziah berkata, pembangkang perlu lebih bertanggungjawab dengan mengemukakan hujah berdasarkan fakta.
"Saya kira pembangkang harus lebih bertanggungjawab, cakap mestilah berlandaskan fakta.
"Jangan jadi pembangkang yang setakat nak popular dan hanya mahu raih undi. Macam kita (kerajaan) memang bercakap ada fakta dan data," katanya.
Sebelum ini, isu kenaikan kos sara hidup menjadi antara fokus dalam ucapan dan ceramah politik pembangkang sempena PRN dan PRK 12 Ogos ini.