KOTA BHARU - Kementerian Pertahanan (Mindef) berhasrat mewujudkan poliklinik kesihatan khas secara percuma kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan lebih sempurna.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, cadangan pelaksanaan berkenaan akan dibawa ke peringkat tertinggi Mindef pada tahun ini selain bergantung kepada Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, pelaksanaan poliklinik kesihatan khas itu akan dimulakan di Kelantan kerana negeri itu mempunyai kepadatan golongan veteran lebih ramai berbanding negeri lain.
"Kelantan boleh diberi keutamaan memandangkan ia mempunyai kepadatan veteran.
Negeri lain (veteran) sekitar 5,000 hingga 6,000 orang sahaja.
Tetapi di Kelantan lebih 15,000 orang, jadi sudah pasti kebajikan mereka perlu diberi keutamaan.
"Kita mempunyai data dan lokaliti golongan veteran ini termasuk kawasan yang mempunyai kepadatan veteran.
Selain di Kelantan, Perak dan Kedah juga akan diberi fokus untuk (poliklinik kesihatan)...kita akan cuba jayakan hasrat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan Ke-54 Tahun 2023 di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sazali Ismail dan Yang Dipertua PVATM Kelantan, Ab Aziz Awang Lah.
Sementara itu, pada perkembangan sama Adly berkata, kementeriannya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana begitu cakna dengan permasalahan dan kebajikan golongan veteran.
"Komitmen Perdana Menteri begitu tinggi untuk memperkasa ekonomi veteran termasuk isu skim berpencen dan tidak berpencen selain turut menekankan agar setiap kementerian menyusun program khusus kepada golongan ini.
"Saya yakin sekiranya semangat ini yang ditunjukkan oleh Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yang menguruskan golongan veteran ini akan lebih komited untuk memastikan veteran kita dipedulikan selain ekonomi mereka dapat diperkasakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, skim veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat pertama Skim Perkhidmatan dan Persaraan Isnin depan.
Anwar memaklumkan perkara itu tidak pernah dimasukkan dalam kajian semula skim perkhidmatan dan persaraan sebelum ini. - Bernama