PUTRAJAYA - Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) kedua yang dilancarkan pada Sabtu, menekankan bukan hanya menumpukan hubungan intim semata-mata sebaliknya merangkumi aspek rohani, psikologi, kognitif, emosi, sosial, fizikal dan biologi.
Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob berkata, modul yang mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan itu mempunyai 14 topik berkait rapat dengan situasi dan sosiobudaya Malaysia.
"Antaranya seperti penderaan dan salah laku seksual, perkembangan dan kecelaruan jantina serta ancaman gajet serta internet.
"Selain itu, berkenaan anatomi dan fisiologi lelaki dan wanita, konsep perhubungan sihat, penyakit bawaan kelamin serta kesihatan psikoseksual.
"Kita juga ada bahagian agama yang berkaitan dengan syariah memberi input untuk memastikan modul agak komprehensif," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Modul ReproAlert di Putrajaya pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zainal Abidin Shaik Zakaria.
Dalam pada itu, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, modul tersebut dibangunkan oleh pakar bagi mengenal pasti permasalahan atau cabaran masa kini.
"Modul berkenaan amat penting kerana cabaran zaman dahulu dan sekarang amat berbeza, maka pihak mereka perlu sentiasa mengemaskini modul reproduksi tersebut," ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden I-Medik berpandangan bahawa di Malaysia, Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dengan adat ketimuran dan kesopanan, untuk memakai modul pendidikan seksualiti barat dianggap tidak bersesuaian.
Jelasnya, ia kerana mereka menekankan hubungan seksual tanpa perkahwinan itu adalah sesuatu perkara yang boleh diterima.
"Justeru, melalui modul ini, kita akan memastikan keutuhan kekeluargaan dan menjaga hubungan yang baik antara anak-anak apabila mereka memasuki alam perkahwinan.
"Kita tidak sedar hubungan seksual yang tidak dipandukan oleh perkahwinan akan merosakkan pergaulan yang sihat," katanya.