Pendayung kayak catat sejarah

Iklan
Murad bersama kanu serta plak MBOR yang diterimanya.

KUALA KANGSAR - Pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim, 49, mencatat sejarah tersendiri apabila namanya dicatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) setelah berkayak menongkah arus sejauh 350.92 kilometer (km) baru-baru ini.

Murad yang berkayak sejak 25 Mac lalu dari Beting Beras Basah di Bagan Datuk dan berakhir di Tasik Banding pada 6 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, pengiktirafan yang diterima itu sungguh bermakna buat dirinya, malah anak kelahiran Kampung Merua Parit ini berkata, apa yang lebih membanggakan adalah berjaya menamatkan perjalanan sehari lebih awal dan dengan jarak yang lebih jauh daripada ditetapkan oleh pihak MBOR.

"Pihak MBOR menetapkan sasaran lebih 300 km dan tempoh selama 13 hari untuk saya menamatkan perjalanan sebelum mengiktirafnya sebagai rekod kerana ini adalah kali pertama cubaan mencatatkan rekod bagi acara sedemikian dibuat.

Iklan

"Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan perjalanan saya sehari lebih awal dan dengan jarak yang lebih jauh daripada yang ditetapkan oleh MBOR.

"Saya berjaya membawa harapan serta amanah daripada 30 juta rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dan diharapkan kejayaan ini dapat dijadikan contoh kepada semua khususnya golongan belia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Difahamkan, sepanjang perjalanan Murad dalam Ekspedisi Legenda Arus Sungai Perak yang dilakukannya secara solo itu, beliau melintasi 17 jambatan bersejarah, tiga tasik serta empat empangan di Perak.

Atas kejayaan berkenaan, Murad menerima plak penghargaan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBOR Christhoper Wong di Kuala Lumpur, Isnin, lalu.

Untuk rekod sebelum ini Murad pernah melakukan jelajah solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh selama 52 hari pada 2015 selain termasuk beberapa lagi rekod lain.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai cabaran di sepanjang perjalanannya itu Murad berkata, cabaran paling sukar adalah ketika berdepan fenomena air surut di Beting Beras Basah.

Katanya, keadaan itu menyebabkannya mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke jeti Bagan Datuk yang hanya sejauh enam kilometer.

"Kerana air surut itu saya berdepan sedikit masalah apabila mengalami kecederaan sendi bahu, tapi saya tetap bertahan dan meneruskan perjalanan.

"Sepanjang perjalanan, saya tidak singgah di mana-mana hotel. Saya berhenti di check point, kerana bagi saya di mana kanu saya berada di situlah saya berada sehinggalah tamat perjalanan,” katanya.