GEORGETOWN - Dakwaan mengatakan Chow Kon Yeow tidak akan dilantik menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) adalah kenyataan daripada mereka yang kecewa.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan secara terbuka daripada parti itu sudah dibuat dan keputusan tersebut tetap tidak akan berubah.
Menurutnya, semua rakyat Pulau Pinang diminta agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas itu.
"Siapa punya dakwaan itu, saya sudah beri kenyataan secara terbuka bahawa pilihan kita adalah Kon Yeow untuk menjadi Ketua Menteri apabila kita dapat membentuk kerajaan negeri selepas ini.
"Saya minta jangan terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas ini. Dakwaan ini dicetuskan oleh mereka yang kecewa kerana tidak dapat menjadi calon dalam PRN kali ini," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau kemudiannya memohon agar semua rakyat dan pihak terlibat memberi sokongan kepada Kon Yeow untuk memimpin kerajaan negeri selepas PRN nanti.
"Pastikan kita semua menyokong Kon Yeow. Itu adalah komitmen dan pendirian DAP, jangan dengar dakwaan lain yang tak sahih.
"Apabila ada yang kecewa, akan ada macam-macam dakwaan, jangan terpengaruh," katanya.
Julai lalu, Kon Yeow dinamakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti.
Keputusan sebulat suara DAP itu diutarakan Anthony Loke selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi Kebangsaan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, jawatankuasa sama juga memutuskan akan membuat pembaharuan besar dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir semula.
Bagaimanapun, timbul dakwaan pada masa ini bahawa Kon Yeow akan disingkirkan daripada jawatan berkenaan selepas kerajaan negeri dibentuk nanti.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, dakwaan yang dibuat bukan mewakili parti itu yang mana, ia bertujuan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
"Suara-suara pihak lain sebenarnya tidak mewakili pendirian serta pandangan DAP. Mereka mengambil kesempatan untuk timbulkan satu keadaan yang tidak menentu kepada orang ramai.
"Jadi saya harap orang ramai dan rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas ini," katanya.
Tambahnya, beliau sebagai Setiausaha Agung DAP memberikan kenyataan dan pendirian tegas secara terbuka bahawa Kon Yeow akan menjadi Ketua Menteri sepanjang penggal depan apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi semula mandat dari rakyat Pulau Pinang
"Tidak ada sebarang keresahan yang perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak. Kedudukan Kon Yeow adalah jelas dan pendirian kita yang tidak berubah," katanya.