Pelajar kolej tempuh detik cemas, telefon dirampas sebelum dipukul

Iklan
Tular video di media sosial memaparkan seorang wanita merampas telefon bimbit seorang pelajar sebelum membaling ke arah jalan raya dalam kejadian di hadapan sebuah kolej pada Khamis lalu.

KAJANG - Seorang pelajar menempuh detik cemas apabila bukan sahaja telefon bimbit miliknya dirampas sebelum dibaling malah turut dipukul menggunakan buku dalam kejadian di hadapan sebuah kolej swasta dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa berumur 20 tahun itu bersama rakannya berada di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Mangsa bagaimanapun tidak menuruti kehendak suspek disebabkan sedang melakukan tugasan kerja pembelajaran menyebabkan suspek berang lalu bertindak merampas serta menghempas telefon bimbit mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan suspek itu mengakibatkan telefon bimbit mangsa mengalami kerosakan.

Iklan

"Mangsa meminta suspek bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah kerosakan telefon bimbit miliknya sebelum mengikut suspek masuk ke dalam sebuah premis serbaneka yang berdekatan untuk berbincang.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan memukul muka mangsa dengan menggunakan buku," katanya.

Iklan

Beliau berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian meminta suspek ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan mendapati kedua kejadian tersebut dirakam mangsa dan didapati telah tular di media sosial.

"Suspek yang merupakan seorang wanita tempatan itu kemudiannya diberkas dan direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Zaid berkata, sehingga kini siasatan lanjut berkaitan kejadian masih lagi dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita merampas telefon bimbit seorang pelajar sebelum membaling telefon bimbit itu ke arah jalan raya.