GEORGETOWN - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng kesal apabila bendera parti yang dipasang telah dicabut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, perkara itu disedari oleh pasukan kempen yang melakukan tinjauan di sekitar Jalan Burma di sini pada Sabtu.
"Bendera PH yang dipasang di laluan Jalan Burma ini tidak menghalang lalu lintas mahupun pejalan kaki.
"Bendera ini dipasang mengikut spesifikasi yang sesuai untuk berkempen dan tidak berbahaya untuk orang awam," katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Joshua Woo berkata, tindakan menanggalkan bendera semasa kempen ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab sedangkan tempoh berkempen masih berlangsung.
Katanya, masyarakat harus mengamalkan politik matang dan menjunjung prinsip demokrasi semasa berkempen.
"Elakkan tindakan yang boleh mencetuskan provokasi dan kemudaratan semasa berkempen.
"Kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut agar perjalanan kempen PRN ini berjalan lancar," katanya lagi.