SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mendedahkan bahawa semakin ramai akar umbi daripada parti Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi jentera kempen beliau pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau, perkara tersebut berlaku disebabkan terdapat pelbagai perubahan dan drama politik di antara PH dan BN sebelum ini sehingga menyebabkan mereka bertindak untuk keluar daripada parti.
Menurutnya, ahli yang keluar tersebut beralih sokongan kerana beranggapan bahawa PN merupakan ‘rumah’ baharu menggantikan BN untuk memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air selain mahukan perubahan di Selangor.
"PRN kali ini memang agak mengejutkan. Sebagai contoh, ada antara kepimpinan tertinggi PKR di Tanjong Karang yang dahulunya selalu bertegang, sentiasa lawan dengan abah (Tan Sri Noh Omar), tetapi sekarang mereka antara orang kuat dalam jentera saya. Ada yang bekas ahli majlis, kepimpinan DAP juga turut bersama dengan kita.
"Dari masyarakat India pula, memang semua saya nampak adalah memberangsangkan. Kita ada kawan-kawan MIC dan sebagainya yang mana Pusat Daerah Mengundi (PDM) mereka semua sudah tukar kepada PN. Empat PDM UMNO juga sudah tukar bendera.
"Apa yang saya lihat berdasarkan situasi politik, ekonomi sekarang ini, bukan sahaja penyokong PN, saya rasa seluruh rakyat Malaysia sekarang ini kalau bertanya memang PN akan bawa wadah, parti terbaik untuk bimbing masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sinar Live yang bertajuk ‘Permatang: Debaran Satu Lawan Satu’ dikendalikan oleh Haizir Othman yang disiarkan di seluruh platform Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam masa sama, Nurul Syazwani turut mengakui bahawa pemilihan nama yang diletakkan di atas kertas undian iaitu Nurul Noh Omar memberi impak terhadap dirinya untuk lebih dan mudah dikenali oleh pengundi khususnya di DUN Permatang.
Bagaimanapun, menurutnya, ia bukanlah sebagai satu keistimewaan bagi dirinya, malahan ia adalah satu tanggungjawab atau beban yang perlu dipikul.
"Dengan nama Nurul Noh Omar di atas kertas undi, ia memberikan saya satu tanggungjawab atau beban yang saya harus pikul dan buktikan kepada orang DUN Permatang yang saya mesti bekerja sama kuat dengan beliau (Noh).
"Ini sebabnya kalau sebut Noh Omar, orang akan kenal. Kalau sebut Nurul, orang kenal saya sebagai anak beliau. Jadi, bila orang sebut Nurul Noh Omar, mahu atau tidak saya mesti buat kerja betul-betul sebab nanti nama beliau yang akan calar,” ujarnya.