PRN: Calon Pas wakili parti, bukan individu

Iklan
Zuraida (kanan) ketika bertemu peniaga-peniaga dan pengunjung Pasar Bukit Besar dalam program 'Hit and Run: Sis turun mengundi' anjuran Pas DUN Ladang.

KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang percaya pertarungan sebenar dalam pilihan raya kali ini adalah antara Pas dan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) menentang gabungan Pakatan Harapan (PH) bukan antara individu atau calon yang dipertandingkan.

Zuraida Md Noor berkata, walaupun berstatus wanita, ia bukan halangan untuk berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Sabri Alwi atau lebih popular dengan gelaran 'Mat Kerak' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu kali ini.

Iklan
Iklan

Calon wanita tunggal dari Pas itu berkata, isu jantina tidak pernah timbul setelah dirinya terpilih untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Saya percaya semua calon Pas yang bertanding mewakili parti dan bukannya bertanding atas kapasiti diri calon semata-mata.

Iklan

"Itu realiti sebenar, bukannya bertanding atas batang tubuh individu. Alhamdulillah sepanjang tempoh berkempen ini, saya mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pengundi yang mengalu-alukan penyertaan wanita dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya Pas berjaya memenangi PRN ini.

"Pengundi juga sudah semakin matang dan berfikiran terbuka kerana isu-isu wanita sangat rapat dengan masyarakat dan pastinya kehadiran wakil rakyat wanita akan membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam sebarang perubahan dasar yang ingin diperkenalkan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Iklan

Ibu kepada tiga anak itu berkata, pemilihannya sebagai calon bukan sesuatu yang luar biasa kepada pengundi kerana Pas juga pernah mempertaruhkan calon wanita (Napsiah Ismail) di kerusi DUN Kuala Besut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Selain itu, katanya, pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita pada penggal lalu banyak membantu beliau memperkasakan agenda sekali gus memartabatkan golongan wanita di Terengganu.

"Dalam tempoh lima tahun ini, banyak yang telah kita laksanakan bersama-sama barisan Exco yang lain antaranya mewujudkan Pusat Autisme Terengganu Sejahtera secara percuma dan melancarkan Dasar Wanita Terengganu pada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga sudah biasa melakukan kerja-kerja sukarela dan khidmat kemanusiaan, dan pernah ke luar negara termasuk menyertai misi bantuan tragedi gempa bumi di Turki tahun lalu.

"Dalam tempoh kempen ini memang masa begitu terhad kerana jadual yang padat tetapi bagi saya ia bukan halangan.

"Begitu juga dalam kerja sukarela dan kebajikan ini. Penat memang penat namun perlu diingat matlamat sebenar adalah akhirat dan yang penting adalah keikhlasan," katanya.

DUN Ladang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Zuraida dan Mohd Sabri.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi oleh Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang mewakili Pas dengan memperoleh sebanyak 8,201 undi menewaskan Mohd Sabri (7,838 undi).