Agih martabak percuma sempena Ramadan

Iklan
Pembantu Restoran Nasi Beriani Haji Tamby, Anisah Abdullah, 23, menyerahkan bungkusan martabak daging kepada pelanggannya.

MELAKA - Sebuah restoran nasi beriani, di Padang Temu, di sini, meraikan pelanggannya sempena pembukaan Ramadan tahun ini dengan menghidangkan martabak daging secara percuma.

Pengusahanya, Muhammad Nazli Zainul Abidin, 40, berkata, amalan tersebut dilakukan bagi meneruskan tradisi bapa mentua yang suka bersedekah tidak kira di bulan Ramadan atau hari biasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia dan keluarga bersyukur kerana masih diberi ruang untuk memberikan makanan percuma untuk hari pertama Ramadan walaupun bapa mentuanya iaitu pengasas restoran nasi beriani itu sudah meninggal sejak Disember 2018.

"Sempena hari pertama Ramadan, restoran ini menyediakan lebih 300 keping martabak daging percuma kepada pelanggan, penduduk setempat serta rumah anak yatim.

Iklan

"Selagi diizinkan saya akan meneruskan tradisi bapa mentua yang suka bersedekah tidak kira di bulan Ramadan atau hari biasa, kerana setiap rezeki kami terselit rezeki untuk individu lain," katanya ketika ditemui di Restoran Nasi Beriani Haji Tamby di Padang Temu.

Martabak istimewa, Restoran Nasi Beriani Haji Tamby.

Menurut Muhammad Nazli, tahun ini adalah tahun ke-10 amalan tradisi itu diteruskan dan kebiasaannya mendapat sambutan yang baik dari pelanggan dan penduduk setempat.

Iklan

"Alhamdulillah, ini tahun ke 10 kami berbuat demikian. Untuk hari ini anggaran martabak lebih 300 keping walaupun begitu sebenarnya tiada limit selagi ada yang datang mengambilnya dan ada bahan kita akan berikan.

"Jika tahun lalu kami ada menghebahkan di laman sosial tetapi untuk tahun ini sebaliknya kerana tidak mahu mereka yang datang terpaksa beratur dan menunggu lama dalam keadaan cuaca yang panas," katanya.

Katanya, walaupun ada pelanggan yang datang ingin membeli serta mahu antara tiga hingga empat keping, namun saya tetap tidak menjualnya dan hanya memberikan secara percuma kerana sudah niat untuk bersedekah.

"Selain meraikan pelanggan, secara tidak langsung ia untuk keberkatan bulan mulia iaitu Ramadan.

"Apabila amalan ini sudah dilakukan sejak sekian lama pastinya sukar atau terasa lain jika gagal berbuat demikian seperti biasa," katanya.