IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak mengesahkan dua pemimpin muda UMNO bahagian di Perak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, mereka ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin dan bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun, Faridzul Azlan Abd Shani.
Menurutnya, kedua-dua bekas pemimpin itu bukanlah baru menyertai Bersatu tetapi dipanggil untuk diumumkan secara rasmi ketika pertemuan dengan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa pada Jumaat.
"Untuk makluman Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk sudah menyertai Bersatu sebelum PRU15 lagi iaitu pada tahun 2019, cuma kita tak umumkan secara rasmi begitu juga mantan Ketua Pemuda UMNO Tambun pada bulan lepas mengisi borang Bersatu bahagian Ipoh Barat.
"Kalau semalam (Jumaat) mereka menyertai Pas itu terpulang kepada mereka tetapi rekod yang ada pada kita itulah. Di samping itu mungkin ada pemimpin dari peringkat akar umbi yang menawarkan diri menyertai Bersatu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, selain pemimpin UMNO, ada beberapa pemimpin dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menyertai PN.
Menurutnya, semua parti di dalam PN menyambut baik dan mengalu-alukan kehadiran mereka.
"Saya tak boleh sebut dengan rasmi (nama pemimpin PKR) sebab yang ini digerakkan beberapa rakan-rakan saya di bahagian di Taiping termasuklah di utara di Parit Buntar, Bagan Serai.
"Soal apa alasan mereka kita tak pertikaikan yang itu terserah pada mereka dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang nak bersama dengan PN sama ada Bersatu atau PN," katanya.
Pada Jumaat, Nik Mohammad Azli dan Faridzul Azlan kelihatan bersama-sama beberapa pemimpin lain yang diumumkan oleh Annuar Musa menyertai PN menerusi satu sidang media khas di Kota Bharu, Kelantan.