KUALA LUMPUR - Tanggal 9 Mei, 2018 akan terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia buat selama-lamanya.
Ini kerana pada hari itulah pengundi berdaftar berbaris untuk satu tujuan iaitu menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dan kemudian menunggu dengan penuh debaran keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengundi dan rakyat Malaysia, dari pelbagai latar belakang, pendidikan, agama, budaya, gaya hidup, kumpulan masyarakat, kerjaya, dan sebagainya, sanggup tidak tidur semalaman dan setia menunggu di depan peti televisyen atau telefon pintar mereka untuk mengikuti keputusan pilihan raya, walaupun hingga 5 pagi pada keesokan hari dan menanti 20 jam lagi untuk menyaksikan kerajaan baharu dibentuk.
Setiap orang daripada mereka mempunyai kisah atau pengalaman untuk dicerita dan berkongsi, dengan sesetengah daripada mereka teruja untuk mengetahui keputusan sebelum sejarah dicipta apabila kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) telah dipilih dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun.
PRU14 yang disifatkan sebagai"ibu kepada semua pilihan raya" menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan mudah majoriti.
Gabungan itu kemudian memilih Dr Mahathir Mohamad, 93, untuk menjadi perdana menteri. Dr mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat dari 1981-2003, kemudian mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada 10 Mei, 2018 untuk menjadi Perdana Menteri yang paling tua di dunia.
Apa yang dikenali sebagai tsunami politik atau kuasa rakyat mencipta kemenangan yang tidak dijangka mencetuskan perasaan gembira di kalangan rakyat di Malaysia apabila para pengundi inginkan perubahan dan menunggu untuk rancangan besar bagi Malaysia Baharu dilaksanakan oleh kerajaan yang baru dipilih di bawah pimpinan Dr Mahathir.
Rakyat Malaysia pada keseluruhannya begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan usaha dan perjuangan Dr Mahathir semasa kempen PRU dahulu bagi membetulkan kesalahan yang menurut beliau dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebelum melaksanakan rancangan besar Malaysia Baharu.
Pada sidang media pertama pada malam bersejarah itu, Dr Mahathir ditanya apakah tindakan akan diambil terhadap pemimpin BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan beliau menjawab:"Kami (Pakatan Harapan) tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahu mengembalikan kedaulatan undang-undang.
Antara mesej penting pada malam itu ialah kerajaan yang dipimpin PH berjanji untuk mengurangkan cukai barang dan perkhidmatan, untuk menstabilkan harga petrol, memansuhkan GST, mengurangkan kos hidup, mengkaji semula projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing, yang kemudian semuanya ditunaikan.
Tidak lupa, kejayaan mengatasi skandal 1MDB menggunakan saluran undang-undang, pelan penyusunan semula dan pemulihan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan memerangi rasuah pada skala besar dan memperkenalkan iniasiatif baharu sepetrti penubuhan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
Mengulas lanjut, penganalisis politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara komitmen utama PH sejak hari pertama pakatan itu menjejakkan kaki di Putrajaya.
"Ia menjadi agenda utama setakat ini dan Perdana Menteri sendiri sentiasa memberi peringatan khususnya kepada penjawat awam agar menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu mereka. Jaminan ke arah tadbir urus yang baik, ketelusan dalam pemerintahan serta sikap kepertanggungjawaban perlu diberi sokongan oleh semua pihak bagi menjamin perubahan dalam kerajaan baru ini,” katanya kepada Bernama.
Mencecah 94 tahun, tahun ini, Dr Mahathir seakan-akan tidak menghiraukan usia emas beliau dan akan berjuang berhabis-habisan untuk mengubah dan membangunkan masa hadapan Malaysia dengan projek infrastruktur gergasi termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), mengurangkan kos pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), yang kedua-duanya diberikan lampu hijau dan dijadualkan siap menjelang Februari 2024 bagi LRT3 dan Julai 2021 bagi MRT 2.
Berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Malaysia sedang mencari kaedah untuk mengurangkan lagi kos dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Singapura sebelum tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Mei 2020.
Kecemerlangan kepimpinan Dr Mahathir dibantu timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota kabinetnya biarpun kebanyakan menterinya adalah baharu dan tidak berpengalaman semasa memegang jawatan.
Dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun pertama PH menjadi parti memerintah, beliau menjelaskan selaku perdana menteri, beliau cuba untuk mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan setara dengan yang berpengalaman, jika diberikan masa.
Dalam hal ini, Che Hamdan mengulas mempunyai seorang wanita sebagai timbalan perdana menteri dan lebih ramai wanita berada di dalam kerajaan baharu ini, merupakan satu penghormatan untuk mereka mempamerkan kewibawaan dan memenuhi tanggungjawab mereka dengan baik.
Malaysia menyambut ulang tahun pertama kemenangan PH dalam PRU14, membentuk dan menjalankan operasi Kerajaan Persekutuan yang baharu, adalah lumrah untuk menanyakan sebaik mana kerajaan PH mentadbir dan menunaikan janji-janji pilihan raya.
Dr Mahathir pernah mengakui bahawa pakatan itu membuat terlalu banyak janji pilihan raya kerana ia tidak menjangka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.
"Sebenarnya, kami tidak menjangka untuk menang, dan kami membuat banyak manifesto dengan macam-macam janji ... kami perlu melakukan pengorbanan untuk memenuhi janji kami. Jika kami tidak memenuhinya, kami perlu mencari alasan kukuh yang boleh diterima rakyat,” kata Dr Mahathir seperti yang dilaporkan.
Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berpendapat bahawa kerajaan PH memerlukan enam bulan lagi untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu dan membawa negara kembali ke landasan selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei tahun lepas.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata dalam tempoh ini, PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberikan penjelasan yang tepat apabila perlu terutama mengenai hal-hal berkaitan ekonomi, supaya rakyat memahami situasi semasa.
Pensyarah geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata kerajaan PH sedang berusaha keras untuk memenuhi kewajipannya sebagai kerajaan hari ini tetapi disebabkan beberapa kekangan, terutama menteri-menteri yang kurang berpengalaman, penambaibaikan berjalan sangat perlahan.
"Tidak ada istilah menikmati kemewahan untuk menteri kerana mereka perlu melakukan melaksanakan tugas mulai hari pertama dan tidak menunggu sehingga tahun kedua. Dalam tempoh satu tahun yang lalu, PH telah menekankan mengenai isu liabiliti BN seperti tahap hutang dan isu 1MDB.
"Pada tahun kedua pentadbirannya, menyalahkan pihak lain tidak lagi boleh digunakan sebagai alasan mengapa PH tidak dapat berfungsi seperti diharapkan. Oleh itu, pada pendapat saya, tahun kedua adalah mencabar bagi kerajaan PH kerana rakyat tidak mahu mendengar alasan tetapi mahu keputusan, justeru, masalah seperti kos sara hidup yang tinggi akan ditangani oleh kerajaan.
"Rakyat nampaknya bersifat memaafkan untuk tahun lalu tetapi tidak membuat kesilapan, dan pada tanggal 9 Mei dan seterusnya mereka mungkin berada dalam mood yang berbeza dan mahukan keputusan,” kata beliau ketika dihubungi.
Rakyat Malaysia perlu mengambil perhatian bahawa perubahan sebenar atau pembaharuan yang bersamaan dengan"rancangan besar" untuk Malaysia Baharu, hanya boleh berlaku pada tahun-tahun akan datang.Penganalisis politik dan profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata tempoh satu tahun adalah terlalu singkat untuk menilai prestasi PH kerana pentadbiran perlu melakukan banyak kerja.
"Sekarang kita memasuki fasa baru dalam kematangan proses demokrasi di Malaysia. Kematangan inilah yang akan menjadikan demokrasi berkembang. Yang mendapat manfaat adalah rakyat," katanya.
Hari ini (Khamis), genap satu tahun kerajaan PH memegang tampok kuasa dan masih mempunyai berusaha untuk memenuhi manifesto pilihan raya dalam tempoh lima tahun.
Kira-kira pukul 3 petang di Putrajaya, Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan perutusan ke seluruh negara sempena setahun PH memegang teraju pemerintahan.
Apakah agaknya yang terkandung dalam perutusannya untuk rakyat? - Bernama