PASIR MAS - Seorang suami tidak sanggup meninggalkan isterinya yang terlantar kerana menghidap kencing manis kronik sendirian di rumah meskipun terpaksa bekerja untuk menanggung keluarga.
Zulkifli Abdullah, 44, berkata, isterinya, Rosnani Ab Aziz, 37, kini terlantar disebabkan kedua belah kakinya mengalami luka teruk akibat penyakit yang dialami.
Menurutnya, Rosnani menghidap penyakit tersebut sejak 15 tahun lalu dan keadaannya semakin parah apabila mengalami luka ketika mencuci rumah yang ditimpa banjir buruk pada awal tahun ini.
"Keadaan ini menyukarkan saya untuk meninggalkan isteri seorang diri di rumah dengan keadaannya yang terlantar," katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan daripada aktivis masyarakat, Amran Rahman di Kampung Serongga dekat sini.
Dalam kunjungan tersebut, Rosnani menerima bantuan katil khas, kerusi roda serta barangan keperluan dapur.
Dia berkata, selain itu isterinya juga perlu berulang-alik ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, setiap kali perlu berbuat demikian mereka terpaksa meminta bantuan ahli keluarga terdekat untuk meminjam kereta.
Zulkifli memberitahu, disebabkan itu sukar untuknya keluar bekerja dengan upah RM60 sehari yang diterimanya sebelum ini menyebabkan dia tidak mempunyai simpanan untuk digunakan bagi kelangsungan hidup.
"Disebabkan itu anak lelaki bongsu, Zahrul Haikal Zulkifli, 15, enggan ke sekolah dan memilih untuk bekerja di kedai makan bagi mencari duit," ujarnya.
Selain itu, dia memberitahu, anak sulungnya, Zulfikri, 22, pula adalah orang kurang upaya (OKU) kategori lembam serta mempunyai penyakit tiroid dan perlu bergantung dengan ubat khas seumur hidup.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) 0399541100129903 Rosnani Ab Aziz.
Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah meluluskan Bantuan Perubatan sebanyak RM3,000 dan turut mempertimbangkan bantuan baik pulih rumah kepada keluarga Zulkifli.