PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu persiapan rapi dilakukan skuad Harimau Malaya sebelum bermulanya pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November.
Menurutnya, skuad negara perlu berada dalam keadaan terbaik sekiranya mahu melakar keputusan positif untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak sekali lagi ke pentas Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
Malah, beliau juga sudah berbincang dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memastikan persediaan secukupnya selain taktikal ampuh mengharungi pusingan kelayakan itu.
"Sudah tentu kita mahu layak secara merit dan mara sekali lagi ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027. Bukan mudah kalau tiada persiapan rapi, jadi kita harus persiapkan pasukan,” katanya.
Sebelum ini, skuad negara diundi bertemu Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste dalam Kumpulan D pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Undian tersebut tampak bakal menghadirkan peluang cerah untuk pasukan negara mara ke peringkat seterusnya terutama apabila terlepas berada sekumpulan dengan pasukan kuat seperti Jepun dan Korea Selatan.
Namun, Hamidin mengingatkan pasukan negara supaya tidak berasa selesa dan tetap menghormati Oman serta Kyrgyzstan yang berada di ranking lebih baik daripada negara.
"Mungkin ramai peminat anggap ini peluang kita untuk menang. Kalau dari segi undian, kita bersama dengan Oman, Kyrgysztan dan Taiwan atau Timor Leste.
"Tetapi saya tidak memandang rendah bahawa sesiapun lawan kita bakal menjadi masalah kepada kita sekiranya kita tidak membuat persiapan di peringkat awal," katanya.
Sebagai persiapan, FAM telah merangka perlawanan persahabatan bertemu Syria dan China pada September sebelum kejohanan Pestabola Merdeka yang akan diadakan pada Oktober melibatkan Palestin, India dan Lubnan.