Di mana bertugas, di situlah berbuka

Iklan
Sekumpulan anggota bomba yang terlibat dalam operasi khidmat khas menebang pokok tumbang di Tertak Batu. Gambar kecil: Zulkifli Md Akhir

MARANG - Ketika umat Islam lain sedang enak menjamu juadah iftar di pelbagai lokasi pilihan, ada anggota bomba yang terpaksa berbuka puasa di tepi jalan demi melaksanakan tugas kepada masyarakat.

Begitu situasi dilalui anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di sini yang tetap ceria walaupun terpaksa berbuka puasa secara ala kadar ketika menjalankan operasi.

Iklan
Iklan

Pegawai Bomba Kanan II, Zulkifli Md Akhir yang sudah 15 tahun berkhidmat dalam pasukan berkata, sebagai anggota bomba perkara seperti itu sudah lali dalam kehidupannya dan rakan-rakan lain.

"Di mana kita bertugas, di situlah kita berbuka sebaik sahaja azan berkumandang," katanya yang mengetuai operasi khidmat khas menebang pokok tumbang di Tertak Batu, di sini, semalam.

Iklan

Pihaknya mendapat panggilan kira kira jam 7.10 malam sebelum sepasukan tujuh anggota diketuai oleh Zulkifli bergegas ke tempat kejadian dan membersihkan kawasan berkenaan sehingga selesai.

Menurutnya, sudah menjadi adat sesiapa sahaja yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan akan berbuka malah bersahur di mana-mana sahaja sehingga tugas yang dipikul selesai sepenuhnya.

Iklan

"Pernah berlaku dalam Ramadan tiga tahun lalu, orang kampung bagi buah kurma dan air masak untuk berbuka dalam satu operasi memadam kebakaran belukar ladang sawit di Kampung Batu Penunggul.

"Cabaran lain ialah ketika menjalankan operasi khidmat khas membawa pesakit lumpuh berusia 70 terperangkap di dalam rumah di awal pagi. Kami hanya sempat bersahur di hadapan kedai serbaneka," katanya.

Katanya, sesiapa yang bertugas sebagai anggota keselamatan memang kena banyak bersabar dan perlu ada sikap tolak ansur dengan rakan setugas, termasuk juga dengan keluarga masing masing.