Sakit tidak halang penduduk Paloh rasai kehangatan KMJ 2023

Iklan
Marina (kanan) dan adik Nor Rahil Mohd Shahrul Shahrul. - foto Kelab Media Johor

KLUANG - Meskipun kehidupannya sekeluarga diuji dengan masalah kesihatan, namun ia bukanlah penghalang untuk merasai kehangatan jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di Laman Kembara Paloh di sini, pada Ahad.

Menurut seorang ibu, Aisyah Mohd Salleh, 34, dia ditemani suaminya, Mohd Shahrul Hassan, 38, serta anak bongsunya, Nor Rahil, 5, yang menghidap Hidrosefalus ke Taman Ilham di sini kira pukul 8.30 pagi, bagi menyaksikan KMJ kali ini.

Iklan
Iklan

Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk anaknya itu merasai kemeriahan biarpun dirinya tidak memiliki kesihatan yang sempurna seperti kanak-kanak lain.

"Memang setiap kali KMJ kami sertainya. Kalau dulu kami berenam, tetapi kali ini kami berempat termasuk saudara kami, Saufi Marita, 28.

Iklan

"Dua anak kami sudah meninggal dunia sebab masalah kesihatan yang sama. Seorang lagi anak kami, bersekolah hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi ketiga persinggahan kedua jelajah KMJ 2023 edisi ke-23 di Laman Kembara Paloh di sini.

Sebahagian orang ramai yang meraikan ketibaan konvoi KMJ 2023. - foto Kelab Media Johor

Terdahulu, rombongan keluarga diraja Johor diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar tiba kira-kira pukul 10.50 pagi.

Iklan

Berangkat sama ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor, Tunku Abd Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Sementara itu, seorang wanita yang menghidap angin ahmar, Mariana Marpok, 48, dari Felda Bukit Tongkak di sini ditemani suami tercinta, Mohamed Kamsin, 55, turut sertai bertemu mata dengan kerabat diraja lebih dekat.

Marina (kanan), dan suami Mohamed Kamsin - foto Kelab Media Johor

Menurut Mohamed, sebelum ini mereka hanya dapat ‘berjumpa’ dengan Tunku Ismail dan anakanda Sultan Johor itu menerusi kaca televisyen.

"Hari ini kami dapat tengok depan-depan, isteri sayalah yang minta nak jalan-jalan dan rasai KMJ kali ini, sebelum ini hanya tengok dekat televisyen.

"Alhamdulillah kami ditakdirkan dapat jumpa depan-depan secara dekat hari ini,” katanya.

Mariana yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci diserang strok tiga tahun lalu akibat terjatuh di dalam bilik mandi ketika bersiap sedia untuk ke tempat kerjanya di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Selepas 30 minit meluangkan masa dengan penduduk di Paloh di sini, konvoi keluarga diraja meneruskan perjalanan ke lokasi ketiga di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Labis, Segamat.