PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan untuk memastikannya berada pada prestasi terbaik di pentas dunia.
Malah pemain di ranking ke-17 dunia itu memohon kepada peminat untuk diberikan masa kerana ia merupakan satu proses yang panjang.
"Masih banyak yang perlu buat untuk kembalikan keyakinan. Ia satu satu proses dan memerlukan masa.
"Saya tiada pilihan melainkan perlu bersabar,” katanya menerusi laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Impian pemain yang berasal di Kedah itu untuk mara ke pentas final Terbuka Australia tersekat setelah tewas kepada pemain China, Weng Hong Yang 19-21, 21-13, 13-21 di Sydney pada Sabtu.
Mengimbas aksi dengan Hong Yang, Zii Jia mengakui sudah melakukan yang terbaik, namun ia masih belum mencukupi untuk mengalahkan lawan.
Malah beliau masih belum berpuas hati dengan prestasinya yang perlu dipertingkatkan menjelang kejohanan akan datang.
"Hong Yang bermain dengan baik. Tahap fizikal dan mentalnya tampak cukup bersedia. Saya akan buat persiapan untuk menghadapi kejohanan selepas ini.
"Kempen saya dalam kejohanan ini memang bagus tetapi daripada segi persembahan, saya belum berpuas hati,” ujar Zii Jia.
Menyentuh mengenai statusnya yang tidak lagi berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, Zii Jia positif dengan kedudukan tersebut kerana tidak berada dalam tekanan yang tinggi.
"Memang lebih seronok untuk berada di atas gelanggang ketika berdepan pemain di ranking lebih rendah dan perlahan-lahan apabila mula memanjat ranking, saya sudah dapat membiasakan diri dengan tekanan. Ia satu cabaran,” katanya.
Bekas juara Seluruh England itu selepas ini akan beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini.