Menilai kembali euphoria 905

Iklan
Pakatan Harapan masih mencari ‘kepastian’ selepas 12 bulan menggantikan BN.

TANGGAL 9 Mei 2018 telah memahat sejarah baharu dalam konteks politik pendemokrasian tanah air. Barisan Nasional (BN) yang telah memenangi 13 Pilihan Raya Umum (PRU) tewas buat pertama kali di PRU ke-14. Ia telah membolosi tradisi penguasaan BN selama 61 tahun dan membawa kepada dimensi baharu dalam percaturan politik gabungan besar di Malaysia.

Muncul Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan pada 22 September 2015, pada awalnya merupakan satu gabungan longgar beberapa parti termasuk PKR, DAP dan Amanah sebelum disertai oleh Bersatu pada 14 Mac 2017 dan Parti Warisan di Sabah.

Iklan
Iklan

Ia menjadi satu pertubuhan gabungan besar parti politik secara rasmi selepas mengambil alih kerajaan Pusat.

Berpandukan kepada Buku Harapan sebagai manifesto dan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta penggunaan satu logo iaitu logo PKR, PH merobohkan dominasi BN bukan sahaja di peringkat Parlimen, tetapi menguasai hampir semua negeri kecuali di Pahang dan Perlis.

Iklan

Selepas satu tahun mengurus kerajaan dan negara, adakah euphoria 905 masih kekal momentumnya atau sebaliknya? Dalam kesinambungan acuan kepimpinan lalu apakah perubahan ketara?

Benarkah PH hilang haluan kerana pendekatan U-Turn, flip-flop, komunikasi tidak kesampaian, janji dikatakan bukan kitab suci, hubungan etnik semakin rapuh dan ekspektasi rakyat dipinggirkan? Adakah ini sistem yang dinamakan sebagai regim hybrid?

Iklan

Hakikatnya, PH masih mencari ‘kepastian’ selepas 12 bulan menggantikan BN. Kajian Merdeka Center menunjukkan bahawa sentimen dan persepsi sudah berubah. Sokongan 79 peratus merudum 40 peratus kepada 39 peratus. Jika gred ini dirujuk kepada markah peperiksaan, ia jatuh daripada A- kepada C-.

Ia adalah satu wake up call atau panggilan untuk keluar dari dunia berbulan madu selepas kali pertama memerintah negara.

Perubahan prosedural dan bukan substantif menjadi taruhan sehingga isu sara hidup, agama dan kaum terlepas pandang. Imej perpaduan dalaman longgar dan wajar diubah.

Satu tahun pasca 905 perlu meneliti dan mengupas pencapaian dan penambahbaikan yang perlu dilakukan, khususnya kepada gaya dan jenis kepimpinan.

Pada akhir 61 tahun, BN berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan akibat isu-isu yang berleretan dan tidak ada penyelesaian ampuh.

PH sedang berhadapan dengan situasi yang sama kerana kecenderungan tumpuan ke atas skandal 1MDB, Felda dan Tabung Haji. Ia menjadi lebih tidak popular apabila hibah TH adalah 1.25 peratus dan isu PTPTN tidak ada penghujungnya. BR1M yang dikritik menjadi BSH. Beberapa suntikan khas dilakukan atas nama ‘Selamatkan Malaysia’ sedangkan ia adalah putaran daripada legasi lama seolah-olah penelitian tidak dibuat ke atas ekonomi masyarakat dan tiada inisiatif serta intervensi baru diperkenalkan untuk kumpulan sasar kritikal.

Pencapaian setahun PH

Dalam penstrukturan semula sistem penyampaian, PH memberi tumpuan kepada soal korupsi dan ia merupakan antara mekanisme yang diraikan sepanjang satu tahun.

Kes berprofil tinggi seperti ke atas bekas Perdana Menteri dijadikan sebagai nota kaki tetapi langkah seterusnya sudah pasti perlu memastikan ia melangkaui perbezaan fahaman politik dan tidak bersifat ‘serbuan atau tangkapan politik’ agar kronisme dan penaungan politik dihapuskan. Pembunuhan karakter berlebih-lebihan memakan diri dan jelas daripada keputusan PRK terkini.

Beberapa pencapaian PH lain wajar diiktiraf termasuk pelancaran Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan. Juga, pengenalan Pas Perjalanan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dasar media bebas di bawah Gobind Singh dan perumahan di bawah Zuraida Kamaruddin merupakan antara kementerian yang dilihat berprestasi baik.

Sepanjang satu tahun, media dilihat bergerak bebas dan tidak menampakkan perubahan yang jelas dan dianggap salah satu sumbangan besar PH setakat ini.

Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menampakkan keberkesanan untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan licin dan lancar. Proses yang dipermudahkan dan keputusan yang diketahui awal menunjukkan bahawa SPR wajar diberi pengiktirafan sewajarnya.

Walau bagaimanapun, selepas satu tahun, anggota Kabinet perlu akui kesukaran mengubah mentaliti sebagai pembangkang untuk sekian lama kepada pentadbir kerajaan. Penilaian Perdana Menteri sendiri mendapati anggotanya belum mencapai tahap memberangsangkan. Kabinet belum menampakkan sebagai satu ‘pasukan’ atau ‘Team Dr M’.

Masing-masing cuba menggunakan autonomi kementerian mereka sehingga U-Turn dibuat atau meneruskan dasar kerajaan lepas termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), PTPTN, APAD, AES, kewarganegaraan orang asli dan pelantikan ahli politik serta ECRL.

Ini sebenarnya mengiktiraf dasar kerajaan lepas. Pada waktu yang sama ada sebahagian yang masih belum mempercayai kakitangan kementerian mereka sepenuhnya. Hatta, agenda terbantut atau tergendala bila ‘politiking’ berpanjangan.

Sepanjang satu tahun, perisai yang mengukuhkan struktur sosial negara seolah-olah semakin longgar terutama rongga-rongga yang membenarkan ia menyelusuri masuk tanpa ada sekatan. Di manakah benteng tersebut kini. Nilai faham, hormat dan menerima saban hari luntur terutama dalam hal-hal yang perlu memelihara sentiviti agama, etnik dan institusi yang memagari perencanaan perubahan dalam kesinambungan.

Ini termasuk isu bahasa, ICERD, Statut Rom, hak istimewa Bumiputera, kedudukan Raja-Raja Melayu, gugur status Islam daripada kad pengenalan, membuka kedutaan di Israel, matrikulasi, UiTM, UEC, pendidikan, rusuhan kuil Sri Mariamman, MA63 dan kematian Muhammad Adib.

Ini membawa kepada persoalan sejauh manakah sepanjang satu tahun memperlihatkan kewibawaan PH menangani isu yang lebih penting daripada menzahirkan isu kontroversi sehingga permainan politik lebih dominan daripada merakyatkan kepimpinan.

Ia juga melahirkan kebimbangan, keresahan dan rasa tidak selamat dalam kalangan orang Melayu-Islam disebabkan kenyataan yang tidak wajar datang daripada pemimpin kerajaan dan parti. Kemelut kerajaan pusat, istana dan negeri tidak boleh meleret selepas satu tahun pentadbiran PH.

Momentum 905 sudah berubah. Yang lantang sebelum ini memerhati, malahan kemenangan di tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau menunjukkan penyokong tegar kembali daripada undi protes dan ini didokongi oleh kerjasama dengan parti Pas.

Ikatan kolaboratif UMNO-Pas sepanjang enam bulan menjelang satu tahun Malaysia Baharu ini memperlihatkan keserasian di luar konteks politik kerana ia membawa kepada kemuafakatan ummah.

Dalam bergerak ke tahun ke-dua, kerajaan PH perlu proaktif dalam menjenamakan kerajaan Malaysia Baharu terutama dasar yang dianggap bukan meniru kerajaan lama, mengekalkan kebebasan media dan mempertahankan nilai integriti serta menolak rasuah dan penaungan politik.

Kerajaan perlu peka kepada keperluan, kemahuan dan pemikiran rakyat. Politiking harus dihentikan dan kepercayaan juga wajar diberikan kepada penjawat awam.

Propaganda palsu dan eksploitasi politik harus dihentikan oleh mana-mana pihak tanpa mengira fahaman politik kerana manipulasi berterusan khususnya berkaitan dengan soal perpaduan inter dan intra etnik boleh memberi implikasi besar kepada masa depan negara.

Euphoria 905 hakikatnya senyap dan tidak sama kerana indeks keutamaan PH tidak mengikut ekspektasi yang mahu dilihat oleh rakyat.

Jika pemimpin PH berada di tempat rakyat, apakah yang mereka mahukan daripada rakyat? Apakah yang diharap menjadi ‘Peduli Rakyat’ atau ‘Prihatin Rakyat’? Jika dapat menjawab persoalan tersebut, kajian Merdeka Center akan menjadi tidak relevan dan euforia 905 kembali semula.

Yang penting, pertembungan pemikiran dalam Malaysia baharu perlu diraikan dan memastikan kesejahteraan kesemua anggota masyarakat merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak berubah dan kemuafakatan tidak tergugat disebabkan eko-sistem persekitaran politik kerana inilah harapan sebenar daripada mandat 905-2018.

*Dr Sivamurugan Pandian merupakan Ahli Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM)