JERLUN - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan merupakan model politik baharu yang mampu merubah senario Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, kerjasama komprehensif yang dipamerkan gabungan itu pastinya menjadi titik tambah dalam pemilihan pemimpin di semua negeri terbabit berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh berkempen.
"Macam model politik Perikatan Nasional, dia tidak kekal dan bertukar-tukar,” katanya ketika ditemui Bernama dekat sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Adly berkata, calon Amanah dilihat berpotensi besar untuk menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang yang dipamerkan parti itu di negeri berkenaan.
"Saya selaku Pengarah Pilihan Raya Amanah rasa Amanah cukup berpotensi di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tapi mungkin ada satu atau dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang persaingan dia agak besar, (tapi) saya fikir boleh diselesaikan dengan kerjasama dengan BN,” ujarnya.
Adly berkata, Amanah turut berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan kepada parti itu di tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Contohnya DUN Kuala Nerang, Kedah yang dulunya kubu kuat UMNO kini diserahkan kepada calon Amanah untuk meneruskan perjuangan di kawasan berkenaan," katanya.
Mengulas mengenai pengundian awal PRN di enam negeri Selasa ini (8 Ogos), Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menyeru agar 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan masing-masing keluar mengundi di 260 pusat mengundi awal.
"Semua (anggota ATM) diberi ruang (undi awal)... tiada masalah. Saya fikir peratus undi awal (anggota pertahanan) akan kekal tinggi,” katanya. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!