SEREMBAN -"Saya harap sangat Datuk Seri Aminuddin Harun datang menjenguk saya untuk bantu pulihkan semangat," demikian luah Hairul Anuar Hashim, 53, yang merupakan bekas pembantu peribadi kepada Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Beliau yang kini terlantar sakit di rumah akibat strok sejak 2015 berkata, kehadiran Aminuddin yang pernah menjadi rakan baiknya itu amat dinanti-nanti.
"Bila kawan-kawan lama datang, saya ada semangat sikit untuk pulih.
"Saya pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi beliau selama tujuh tahun iaitu kali pertama beliau mahu bertanding di Sikamat. Ketika itu, mahu bayar wang deposit pun dia tiada duit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Warisan Puteri di sini pada Ahad selepas menerima kunjungan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin.
Sementara itu isterinya Azlina Ali, 50, pula meluahkan rasa terkilan kerana sejak suaminya terlantar, Aminuddin tidak pernah menjenguk mereka melainkan hanya menghantar wakil.
Menurutnya, suaminya mula bekerja dengan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu pada tahun 2008 sehingga 2015.
"Dia berhenti kerja pun kerana jatuh sakit dan sebelum itu merupakan antara orang kuat Aminuddin. Malah pernah dipukul ketika berkempen untuk beliau yang kali pertama bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) waktu itu.
"Saya tengok bagaimana perjuangan suami terhadap parti dan Aminuddin, tapi yang saya terkilan, sebagai seorang sahabat, Aminuddin langsung tidak datang menjenguk suami," katanya.
Malah katanya, suami beberapa kali berkongsi luahan hatinya mahu berjumpa dengan Aminuddin yang pernah susah bersama-sama ketika awal perjuangannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu.
Jelasnya, beliau tidak pasti kenapa hubungan suami dan pemimpin itu tidak sebaik dahulu.
"Sekarang ini bukan soal parti, tapi soal kawan. Wakil Aminuddin ada yang datang, tapi hasrat suami nak berjumpa dengan kawannya (Aminuddin)," katanya.