IPOH - Polis menafikan berlaku adegan pukul dan pergaduhan melibatkan seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan trafik dalam Op Samseng di Jalan Jelapang dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu tidak benar dan sengaja disensasikan bagi memberi imej tidak baik kepada anggota bertugas.
Menurutnya, dalam kejadian itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen.
"Bagaimanapun, keadaan dapat dikawal dan bapa lelaki terbabit meminta maaf sebelum diberikan amaran polis," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Ahad.
Yahaya berkata, polis telah mengeluarkan lima saman terhadap lelaki terbabit antaranya atas kesalahan tiada nombor pendaftaran motosikal, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan aksesori tidak sempurna.
Katanya, dalam hal ini ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
"Pemilik kenderaan juga diingatkan untuk tidak membenarkan orang lain menggunakan kenderaan tanpa lesen, ini juga satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya.
Video berdurasi 1 minit 22 saat yang tular di TikTok itu memaparkan orang ramai mengerumuni lokasi pemeriksaan operasi samseng.
Komen di video terbabit mendakwa polis telah memukul pesalah trafik yang ditahan sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati bapa pesalah terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi bermula jam 3 pagi hingga 6 pagi itu, sebanyak 30 saman trafik telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 27 motosikal dan 32 individu.
Ujarnya, sebuah motosikal telah disita manakala seorang remaja berusia 19 tahun warga Thailand ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu.
"Operasi sama akan terus dipergiat bagi memperkasa tindakan penguatkuasaan terhadap samseng jalanan di daerah ini sebagai usaha mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya," katanya.