BN-PH mampu menang lebih banyak kerusi di Selangor - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid. - Foto Bernama

KUALA SELANGOR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Kerajaan Perpaduan di Selangor terus dipertahankan dan memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata, bantuan dan kerjasama daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah tentu kerajaan negeri terus kekal mentadbir negeri ini.

Iklan
Iklan

"Saya menjangkakan bukan sekadar mempertahankan kerusi, tetapi mampu melebihi (bilangan kerusi dimenangi) daripada kedudukan kerajaan Selangor dahulu (dalam Pilihan Raya Umum ke14)," katanya ketika tinjauan mesra di Pasar Malam Pekan Ijok di sini pada Ahad.

Menurut beliau, semua calon dipertaruhkan BN juga diharap dapat membantu menyumbang kepada pembentukan semula kerajaan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.

Iklan

"Kita serahkan kuasa (mengundi kepada) rakyat dan kita jangan menidakkan hukum ALLAH.

"Saya menasihatkan pendukung sedia agar jangan mendengar fitnah atau pun membuat perbandingan isu-isu yang tidak munasabah, sebaliknya yang penting ialah kestabilan di negeri Selangor ini akan kekal sebagai sebuah negeri perindustrian yang berteknologi tertinggi," ujar beliau.

Iklan

Ahmad Zahid memberitahu, sekiranya hasrat menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri maju dapat terlaksana, ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu dan di seluruh negara.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Ditanya mengenai kenyataan Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa minta ahli dan penyokong UMNO di enam negeri yang terlibat dalam PRN memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyelamatkan UMNO, Ahmad Zahid menyifatkan pemimpin itu 'gila talak'.

"Beliau (Annuar) gila talak," jawabnya ringkas.