KUANTAN - Peraturan baharu cermin gelap (peratusan ketelusan cahaya) ke atas kenderaan motor yang ditetapkan oleh kerajaan bakal menentukan tahap keselamatan terhadap pengguna.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pengguna kenderaan mempunyai pendapat berbeza mengenai bahaya atau kebaikan kesan penggunaannya.
Peniaga, Muhammad Al-Ikmal Samsuri, 21 berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan peraturan tersebut kerana ia mengundang bahaya dan kecuaian.
"Peraturan baharu yang diperkenalkan contohnya cermin sisi penumpang dan cermin belakang dibenarkan gelap sepenuhnya boleh mengundang kejadian tidak diingini.
"Jika berlaku kes kecemasan seperti kanak-kanak terperangkap atau ibu bapa tertinggal bayi ia menyukarkan orang luar untuk tahu atau memberi bantuan.
"Ia juga menggalakkan kes-kes jenayah seperti culik,rompak dan pelbagai lagi,"katanya.
Bagi pemandu, Che Azmi Mohammad, 59, penggunaan cermin gelap boleh membantu mencegah kes jenayah seperti pecah kereta dan membuatkan pengguna lebih selesa.
"Saya sangat setuju dengan cadangan itu. Cermin gelap akan mengurangkan rasa tidak selesa terutama pada musim panas.
Katanya, cermin lebih gelap juga dapat menghalang kes jenayah kerana penjenayah tidak dapat melihat barangan di dalam kenderaan."Contohnya dompet, beg atau barang berharga," katanya.