SIKAP menangguh atau melambat-lambatkan suatu pekerjaan tidak digalakkan kerana ia bukanlah sikap yang baik.
Lazimnya, kerja yang bertangguh atau sengaja dilambat-lambatkan akan menghasilkan output yang kurang sempurna.
Malah, adakalanya langsung tidak menjadi dan terbengkalai begitu sahaja.
Disebabkan itulah, dalam Islam, setiap kerja yang diamanahkan mestilah dibuat dengan teliti dan sempurna.
Bahkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan:"Barang siapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka, tidak akan dipercepatkan hartanya." (Riwayat Muslim)
Sebenarnya, Islam mendidik umatnya supaya sentiasa bersemangat apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
Jika suatu pekerjaan dilakukan secara sambil lewa, ia akan menyebabkan kerugian yang banyak, bukan?
Jika rugi, bagaimana mungkin kita dapat menambah harta?
Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya umatnya jangan menjadikan sikap suka bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan sebagai satu kebiasaan.
Bimbang ia akan menjadi tabiat dan akhirnya akan menjadikan kita hamba yang tidak cemerlang dalam kehidupan.
Marilah kita berusaha untuk jadi orang yang bersemangat tinggi untuk berjaya.
(Sumber: Muhd Nasrudddin Dasuki)