Bot karam: Lima pemancing dikhuatiri lemas

Iklan
Lokasi bot dinaiki lapan pemancing ini dipercayai karam kira-kira jam 9.30 malam tadi. Gambar kecil: Rashidilhadi Abd Rashid

DUNGUN - Lima pemancing dikhuatiri lemas manakala tiga lagi rakan mereka berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Dungun berdekatan Pulau Tenggol di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi itu, tiga daripada mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan berpangkalan di Kuantan yang kebetulan berada berhampiran ketika bot malang dinaiki kesemua mangsa itu tenggelam.

Iklan
Iklan

Ekoran itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diselaraskan Maritime Rescue Sub Centre Kuantan (MRSC) telah dilancarkan tengah malam tadi dan Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman dijadikan sebagai pusat operasi.

Pengarah APMM Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun mengenai kes itu kira-kira jam 10.30 malam.

Iklan

Menurutnya, bot berkenaan yang disewa dipercayai keluar membawa pemancing sejak petang semalam dari Kuala Dungun untuk aktiviti memancing sekitar perairan Dungun dan Kerteh.

Katanya, tiga mangsa yang diselamatkan adalah tekong bot dan dua awak-awak sebelum salah seorang nelayan yang menyelamatkan mangsa itu menghubungi rakannya di Kuantan untuk meminta bantuan melaporkan kes itu kepada polis.

Iklan

"Untuk pencarian hari ini, kita gerakkan sebuah kapal ronda KM Nusa dan sebuah pesawat udara APMM dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 30 orang.

"Kita juga dapatkan bantuan aset-aset daripada agensi lain seperti Pasukan Polis Marin, bomba dan nelayan tempatan di samping kita turut mewar-warkan insiden ini kepada komuniti maritim dan persatuan nelayan setempat untuk sama-sama membantu," katanya.

Bagaimanapun, sehingga jam 8 pagi tadi, kelima-lima mangsa yang hilang masih belum ditemui dan pencarian dilakukan dalam radius 10 batu nautika dari lokasi bot berkenaan karam.

Difahamkan kesemua pemancing berkenaan yang identiti mereka masih dikenal pasti berasal dari luar Dungun.

Susulan kes itu, Rashidilhadi turut menasihatkan kepada komuniti nelayan khususnya kepada nelayan-nelayan untuk sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan apabila turun ke laut dan perlu mengambil tahu ramalan cuaca harian.

"Sebolehnya mereka yang turun ke laut juga perlu memaklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan di darat lokasi mereka menangkap ikan bagi membolehkan tindakan pantas diambil apabila berlaku hal-hal kecemasan sebegini," katanya.