MEMBACA laporan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) 31 Mei lalu, tentang penemuan rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain ditemui di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri, Kelantan pada November lepas membuatkan penulis berasa amat teruja.
Ini kerana, rangka manusia prasejarah milik seorang wanita itu disahkan berusia 14,000 tahun.
Ia lebih tua daripada Perak Man yang ditemukan pada 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.
Menurut laporan itu, rangka manusia prasejarah tersebut ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai, Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat bagi Projek Hidroelektrik Nenggiri di Lembah Nenggiri.
"Penemuan rangka manusia prasejarah di gua tersebut adalah antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara sekali gus menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkaitan amalan pengebumian dan evolusi sosiobudaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam laporan Sinar Harian 25 Julai lepas, Zuliskandar berkata, rangka manusia prasejarah itu milik seorang wanita wanita daripada kelompok Hoabinhian yang menghuni kawasan Hulu Kelantan.
Menurutnya, kedudukan rangkanya ketika ditemui dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya.
"Kami jumpa banyak mineral hematit yang berfungsi sebagai alat solekan atau ritual pengebumian di sisi rangka selain batu kristal pada bahagian kedua-dua mata wanita purba itu,” katanya.
Rangka manusia prasejarah itu telahpun dibawa keluar dan kini berada di Jabatan Anatomi UKM, Bangi untuk kajian seterusnya.
Ia kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara untuk tujuan konservasi sebaik kajian selesai.
Penemuan ini memang sesuatu yang mengujakan, kerana ia merupakan rangka manusia prasejarah paling lama pernah ditemukan di negara ini.
Sudah tentu akan menjadi koleksi baharu Muzium Negara sedikit masa lagi selain dicatatkan di buku teks sejarah Tingkatan Satu dan buku teks Pengajian Am jilid berikutnya.
Kejayaan penemuan ini juga telah melonjakkan nama Zuliskandar dan UKM itu sendiri di kalangan IPT di negara ini antara yang cemerlang dalam bidang arkeologi.
Namun di sebalik cerita gembira penemuan khazanah purba ini, ada cerita sedih yang akan berlaku.
Kebanyakan tapak arkeologi prasejarah ini akan ditenggelami apabila Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion itu siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Menurut Jurnal Arkeologi Malaysia (April 2019, Vol. 32), berdasarkan data ketinggian aras air laut menggunakan sistem Light Detection and Ranging (Lidar), kebanyakan tapak arkeologi prasejarah ini akan tenggelam apabila pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri siap.
Dilaporkan gua-gua yang berpotensi arkeologi yang tinggi seperti Gua Cha, Gua Chawan, Gua Kecil, Gua Lubang Kelawar, Gua Keledung Besar, Gua Rahmat, Gua Gemalah dan Gua Kelew akan ditenggelami oleh air takungan empangan.
Untuk maklumat, kerja-kerja ekskavasi di Lembah Nenggiri telah lama dilakukan. Sebelum ini, pada tahun 2018, di lembah yang sama turut ditemui rangka manusia prasejarah berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun di Gua Chawan oleh penyelidik dari ATMA, UKM dan Jabatan Sejarah, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Kini, hanya berbaki kira-kira empat tahun sahaja lagi untuk Zuliskandar dan pasukannya mencari lebih banyak maklumat dan bukti penemuan arkeologi di kawasan itu.
Nasib tapak arkeologi Lembah Nenggiri bakal mengulangi skrip yang berlaku di Terengganu apabila tapak arkeologi Gua Bewah, di Hulu Terengganu sebahagiannya tenggelam selepas Empangan Hidroelektrik Kenyir siap pada tahun 1985.
Di Gua Bewah, ekskavasi sejak tahun 1970-an menemukan rangka manusia prasejarah dan artifak primitif seperti peralatan batu, serpihan tembikar dan banyak lagi. Dilaporkan masih ada ekskavasi dilakukan, namun sukar untuk kajian lanjut dijalankan.
Berbeza dengan Gua Bewah, Lembah Nenggiri lebih banyak memiliki gua batu kapur yang menjadi bukti kehidupan awal manusia prasejarah. Tapak arkeologi paling terkenal, Gua Cha di sini, misalnya telah mula di eksplorasi pada tahun 1935 oleh penjajah Barat.
Mahu atau tidak, terpaksa terima hakikat kita akan kehilangan khazanah Lembah Nenggiri yang sangat-sangat berharga mengenai sejarah peradaban manusia lampau negara.
*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian.