PERIKATAN Nasional (PN) telah melancarkan Tawaran PN bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu.
Ikuti wawancara bersama wartawan Sinar Harian, NORAFIZA JAAFAR mengenai perincian lanjut tujuh tunjang dan 112 tawaran itu bersama Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon PN DUN Hulu Kelang.
SINAR HARIAN: Apakah jangkaan Datuk Seri dari segi penerimaan rakyat terhadap komitmen dan potensi PN di Selangor?
MOHAMED AZMIN: Alhamdulillah, PN telah melancarkan pakej rangsangan ekonomi Selangor bernilai RM2 bilion dan beberapa inisiatif lain (non-fiskal) yang akan diteliti dari masa ke masa. Dari segi keupayaan, tawaran yang dikemukakan ini realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod dan prestasi cemerlang ketika saya menjadi Menteri Besar Selangor. Sementara sebahagian Exco ketika itu diwakili pemimpin Pas yang bersama-sama membangunkan negeri berkenaan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2017, saya telah memaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri ketika itu berjumlah RM2.6 bilion. Bermakna kita mempunyai satu jumlah kutipan yang besar untuk dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Rakyat Selangor menerima kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu kerana saya meletakkan peruntukan pembangunan sehingga 52 peratus, manakala belanja mengurus hanya 48 peratus. Ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
Kita tidak dapat membangunkan sesebuah negeri atau negara jika perbelanjaan mengurus itu terlalu besar, maka saya ambil pendekatan berani dan bertanggungjawab mengecilkan perbelanjaan mengurus supaya tiada pembaziran dan ketirisan serta tidak ada perbelanjaan jamuan terlalu mewah.
SINAR HARIAN: Datuk Seri mengemudi Selangor bagi tempoh 2014 hingga 2018 dan memahami selok-belok pentadbiran negeri. Bagaimana PN boleh mengintegrasikan tawaran ini supaya ia mampu direalisasikan dan dirasai rakyat semua kaum?
MOHAMED AZMIN: Apabila perbelanjaan pembangunan besar, maka rakyat mendapat manfaat sama ada dari segi kemudahan infrastruktur, prasarana dan inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk pemberian air percuma, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Hijrah serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
Disebabkan itu, apabila dibentangkan tujuh tunjang dan 112 tawaran, rakyat yakin dengan tawaran dan janji kita kerana ia pernah dilakukan.
Ketika negara berhadapan kegawatan ekonomi, sepatutnya kita berbelanja bukan menabung atau menyimpan. Tiada guna mendabik dada dengan simpanan besar sedangkan rakyat tidak dapat manfaat. Semasa di Selangor, dua kali saya kemukakan belanjawan defisit (berbelanja melebihi pendapatan) iaitu pada 2015, saya kemukakan RM450 juta dan 2016 sebanyak RM630 juta.
Ia perlu dilakukan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di lapangan supaya rakyat mendapat manfaat. Berbelanja melebihi pendapatan itu dibenarkan atau dibolehkan ketika kegawatan.
Bagaimanapun, disebabkan belanja secara berhemat dan bertanggungjawab dengan kakitangan perkhidmatan awam yang cekap, akhirnya kita mendapat surplus sebanyak RM230 juta pada 2015 dan RM351 juta pada 2016.
Inilah langkah yang telah dilakukan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor di samping urus tadbir yang baik telah meyakinkan pelabur untuk meletakkan pelaburan mereka di Selangor.
Benar, Selangor mempunyai infrastruktur yang baik, namun kepimpinan tidak ‘flip flop’ dan dasar ‘pro-bisnes dan ‘bisnes friendly’ dapat membantu negeri memacu pertumbuhan yang lebih besar.
Saya mahu lihat Selangor tidak berada di takuk sama tetapi ke arah Selangor Super Smart State, mengupayakan wanita supaya turut memainkan peranan penting sebagai teras pembangunan negeri manakala anak-anak muda mendapat pekerjaan berkualiti.
SINAR HARIAN: Bekalan air percuma kepada rakyat Selangor antara tawaran menarik dikemukakan PN. Adakah PN akan pastikan sasaran janji itu dirasai golongan yang memerlukan khususnya B40 dan M40?
MOHAMED AZMIN: Program air percuma bukan inisiatif baharu. Dahulu rakyat dapat 20 meter padu air percuma membabitkan peruntukan RM184 juta kos bekalan air terawat dan air bersih kepada hampir 6 juta pengguna.Kita mampu laksana kerana Selangor mempunyai rizab yang besar. Sebelum saya tinggalkan Selangor, rizab negeri ada sebanyak RM4 bilion.
Takkan saya tak boleh keluarkan sebahagian dari rizab itu untuk manfaat rakyat. Penjajaran semula program air percuma (ketika pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari) hanya beri manfaat kepada golongan B40.
PN komited kembalikan program ini kepada rakyat, bukan hanya B40 tetapi berpendapatan RM15,000 ke bawah.
Kita juga dahulu ambil langkah drastik memastikan penduduk tidak alami gangguan atau terputus bekalan dengan membelanjakan RM800 juta untuk membina dua Loji Rawatan Air (LRA) Labuhan Dagang dan Semenyih yang tidak dibiayai kerajaan Persekutuan, sebaliknya menggunakan rizab negeri supaya dua LRA ini boleh bekalkan 400 juta liter sehari (JLH).
Saya juga telah menggunakan RM400 juta untuk gantian paip lama di lokasi hotspot bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW) yang meningkat 35 peratus.
Ini bermakna, kerajaan negeri ketika itu membelanjakan RM1.2 bilion supaya bekalan air tidak terganggu dan stabil. Namun, program gantian tersebut dihentikan dan PN akan memastikan ia disambung semula.
Gombak antara daerah paling banyak kejadian paip pecah dan bocor. Masalah ini tidak boleh berterusan kerana ganggu perkembangan ekonomi Selangor.
SINAR HARIAN: PH telah kemukakan lima tekad sebagai manifesto untuk Selangor. Apakah tawaran PN lebih realistik serta menyeluruh berbanding PH?
MOHAMED AZMIN: Tawaran PN mencakupi semua sektor dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi lestari dan aspek teknologi, inovasi serta industri masa hadapan.
Kita tidak mahu Selangor dijadikan hub tetapi bergantung kepada tenaga pekerja asing. Kebergantungan ini menyebabkan produktiviti akan merudum.
Jika Selangor dapat menumpukan kepada teknologi dan inovasi, maka pelabur asing sektor itu akan masuk ke Selangor serta mencipta peluang pekerjaan, membina potensi bakat anak muda dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.
Kita juga membicarakan menyediakan dasar silver ekonomi iaitu peranan warga emas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
Kita juga menumpukan peranan wanita yang bekerjaya, namun ada di antaranya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anak menyebabkan potensi mereka terbantut.
Justeru, PN akan bina 20 pusat jagaan anak-anak setahun yang canggih dan mempunyai tenaga pengajar profesional untuk membantu wanita bekerjaya meneruskan karier, sementara anak-anak mereka mendapat penjagaan rapi secara percuma.
Tawaran ini cukup komprehensif dan mencakupi semua sektor.
SINAR HARIAN: Sejauh mana keyakinan Datuk Seri bahawa PN mampu menguasai Selangor pada PRN ini?
MOHAMED AZMIN: Selangor bukan lagi zon selesa kepada PH, DAP dan UMNO disebabkan gelombang tidak puas hati rakyat sudah sampai ke kawasan bandar yang tidak lagi boleh dihalang oleh mana-mana tangan sang penguasa.
Mereka boleh mempengaruhi pengundi tetapi saya yakin dengan kebijaksanaan pengundi Selangor.
Selangor ini negeri maju, saya yakin rakyat tidak mahu tercicir dalam usaha meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi nasional.
PH, DAP dan UMNO yang bergabung hari ini, gagal melaksanakan tanggungjawab itu. Sebagai contoh Jabatan Statistik mengeluarkan kenyataan bahawa pelaburan negara merudum sebanyak 52 peratus dan Selangor jatuh ke tangga ketiga selepas Kuala Lumpur serta Johor pada suku pertama 2023.