Malaysian Tigers dituntut lebih bertenaga berdepan Jepun

Iklan
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang India dalam kejuaraan Trofi Juara-juara Asia di Stadium Mayor Radhakrishnan pada Ahad. - Foto Asia Hockey Federation

RENTAK kemenangan skuad hoki lelaki negara dalam kempen Kejohanan Trofi Juara-juara Asia terhenti apabila dibelasah 0-5 juara tiga kali, India di Chennai, pada Ahad.

Dalam perlawanan di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, India memulakan pesta gol pada minit ke-15 menerusi jaringan padang, Selvam Karthi.

Iklan
Iklan

India kembali mengganas apabila menjaringkan dua gol daripada pukulan sudut penalti, masing-masing dijelmakan Hardik Singh pada minit ke-32 dan Harmanpeet Singh (m-42).

India terus menambah derita skuad Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj apabila Gurjant Singh menyumbat masuk gol padang pada minit ke-53 sebelum Jugraj Singh melengkapkan kemenangan besar tuan rumah dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-54.

Iklan

Kemenangan India itu menyaksikan gergasi Asia tersebut mengumpul tujuh mata, sekali gus memintas Malaysia yang memungut enam mata untuk berada di tempat teratas kumpulan selepas tiga perlawanan.

Sebagai rekod, Malaysia yang membuka tirai kempen kejohanan itu dengan menumpaskan Pakistan 3-1, Khamis lalu diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, Jumaat, bakal membuat perhitungan dengan Jepun, petang ini.

Iklan

Dalam pada itu, Arul mengakui kecewa apabila anak buahnya memberi banyak ruang serta menghormati lawan.

"Perlawanan seterusnya dengan Jepun, kita kena bermain dengan lebih yakin dan bertenaga untuk menang," katanya.