'Lebih selesa, berhawa dingin, tak perlu bersesak' - Penumpang

Iklan
Feri baharu mula beroperasi pada Isnin dengan tambang percuma selama sebulan.

GEORGETOWN - Penumpang yang menaiki feri baharu Pulau Pinang berpuas hati dengan keadaan selesa dan fasiliti perkhidmatan awam itu.

Pegawai sumber manusia sebuah pasaraya, Azlina Aziz, 46, berkata, feri yang berhawa dingin membuatkannya dan penumpang lain berasa selesa.

Iklan
Iklan

"Saya guna perkhidmatan feri ini sudah lama, hampir 20 tahun dan ini adalah feri versi ketiga yang disediakan untuk penumpang. Bagi saya, feri baharu ini selesa, fasiliti bagus dan lebih besar menyebabkan penumpang tidak berasak walaupun di waktu puncak.

"Saya tinggal di Pekan Darat dan antara penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri setiap hari. Bagi feri baharu ini, masa menunggu tidaklah terlalu lama seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini pada Isnin.

Iklan

Bagi pelajar kolej swasta, M Linkesh,19, pula teruja untuk menaiki feri itu selepas pelancaran perkhidmatan awam itu disiarkan di media sosial.

"Saya berulang alik dari seberang ke bahagian pulau setiap hari untuk pergi ke kolej. Saya memang teruja nak naik feri baharu ini selepas mengetahui mengenai pelancarannya yang akan diadakan pada hari ini.

Iklan

"Tidak sangka, saya menjadi antara penumpang terawal menaikinya dan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Feri ini sangat bagus kerana selesa, berhawa dingin dan agak pantas kerana hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke destinasi," katanya.

Seorang lagi penumpang, Suraya Khor Abdullah, 55, berkata, urusan pembelian tiket feri juga amat mudah kerana penumpang boleh membelinya menerusi sistem e-ticketing dan juga menerusi e-wallet seperti Touch N Go, DuitNow QR Pay dan lain-lain.

Sebelum ini, akhbar melaporkan empat buah feri baharu Pulau Pinang itu yang dinamakan Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi selamat tiba di negeri ini dari limbungan kapal di Haiphong, Vietnam.

Setiap feri baru tersebut bernilai RM18 juta dan akan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 8.30 malam setiap hari yang mana, sebuah feri mampu menampung 150 pejalan kaki serta 50 buah motosikal dan basikal dalam satu masa.

Kemudahan di kedua-dua terminal telah dinaiktaraf untuk memberikan keselesaan kepada para penumpang yang sedang menunggu ketibaan feri.

Kedua-dua terminal iaitu PRTU dan Pangkalan Sultan Abdul Halim PSAH dilengkapi dengan ruang menunggu yang berhawa dingin, sambungan WIFI percuma, dilengkapi dengan kawalan keselamatan CCTV dan kemudahan lif untuk orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, ia turut menyediakan sistem E-Ticketing yang dinaiktaraf yang mana tiket boleh dibeli melalui Touch 'n Go atau Mifare, debit atau kredit dan DuitNow QR Pay.

Di samping itu, kedua-dua terminal juga dilengkapi dengan ruang kedai-kedai jualan dan gerai makanan.