MIKEL Arteta percaya kejayaan menewaskan Manchester City untuk merangkul Perisai Komuniti membuktikan Arsenal mampu bersaing dengan pemenang kejuaraan treble itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Arsenal memberikan amaran menjelang musim baharu apabila bangkit menewaskan City 4-1 menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1 di Wembley pada Ahad.
Jaringan Cole Palmer telah meletakkan City di hadapan pada minit ke-77, tetapi Arsenal enggan menyerah dan Leandro Trossard menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
"Ia bagus jika pemain yakin mereka boleh menewaskan setiap pasukan. Saya fikir kami menunjukkan keazaman sebenar dan berjuang untuk memenangi perlawanan.
"Kami berhak untuk menang menentang pasukan yang telah bermain dalam begitu banyak perlawanan akhir.
"Ia sesuatu yang bagus memenangi trofi di Wembley menentang pasukan terbaik di dunia," katanya.
Kemenangan itu turut disumbangkan penampilan cemerlang rekrut baharu mereka iaitu Declan Rice dan Jurrien Timber masing-masing di bahagian tengah dan pertahanan kiri.
Manakala seorang lagi pembelian utama Kai Havertz kurang menyerlah apabila melepaskan dua peluang terbaik sekali gus menunjukkan mengapa Chelsea menjualnya kepada Arsenal.
Bagaimanapun, Arteta tetap mempertahankan Havertz dan percaya dia telah memberikan aksi yang baik dalam perlawanan itu.
"Havertz hebat, cara dia mengasak, dia berada dalam posisi yang bagus untuk menjaringkan gol. Saya sangat gembira dengan prestasinya," katanya.