KUANTAN - Seramai 35 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan termasuk inisiatif wang saku diperkenalkan MyGift UMP berjumlah RM17,500 hasil sumbangan zakat pihak Agrobank.
Penerima turut menerima sumbangan takaful bernilai RM385,000 sebagai manfaat Pelan Perlindungan Kemalangan Diri dan Khairat Kematian khusus kepada mahasiswa daripada keluarga B40.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu menampung perbelanjaan dan meringankan beban mahasiswa berkenaan sepanjang mengikuti pengajian di UMP.
"Pihak pengurusan UMP sentiasa komited untuk masyarakatkan UMP melalui medium kepakaran teknologi dan gerak kerja kesukarelawanan.
"Justeru bagi menjayakaan agenda Universiti-Komuniti dalam kerangka perlaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, kita sentiasa menyambut baik sebarang hasrat jabatan atau agensi yang ingin berkolaborasi untuk faedah umum,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menerima penyerahan sumbangan itu yang disampaikan Pengarah Agrobank Wilayah Negeri Pahang, Safaruddin Samsuddin di Dewan Bankuet UMP Pekan, semalam.
Hadir sama,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin), Dr Mahyuddin Ismail.
Dr Daing Nasir berkata, UMP turut membuka peluang kepada orang ramai beramal jariah melalui wakaf pendidikan dan 'endowmen' dana MyGift UMP.
"Projek lain yang dilaksanakan bagi menyokong usaha ini termasuklah Food For All, Gerobok Rezeki #BPACare, UMP Campus Pantry dan MyCafe-Komuniti,” katanya.
Pada majlis yang sama, Dr Daing Nasir turut menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung MyGift UMP sebanyak RM140,000 kepada Pimpin bagi tujuan penyediaan Iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang bulan Ramadan nanti.
UMP juga bakal menganjurkan Festival Ramadan yang antaranya Pertandingan Video Pendek Tazkirah Ramadan, Solat Tarawih Bersama Imam Jemputan, Iftar Jamaie dan Memasak Bubur Lambuk di RTC Kuala Pahang dan Masjid UMP Gambang.
Bakal berlangsung juga kolaborasi strategik bersama Etiqa dan Isuzu dalam Program Indahnya Ramadan serta lain-lain program menyantuni anak yatim dan asnaf.