TEMERLOH - Seorang pelatih kecergasan berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 12 jam tanpa henti, sekali gus melakar rekod dalam Influencer Book of World Records dan Malaysia Book of Records (MBOR).
Dr K Jey Prabakaran Thevar, 26, mencatatkan rekod tersebut pada 23 Julai lalu dengan menggunakan lebih 20 peralatan seperti treadmill, dumbbell, barbell dan diberikan masa lapan minit keseluruhan untuk ke tandas sepanjang tempoh tersebut.
Anak jati Pahang kelahiran Kuala Lipis itu berkata, beliau pada mulanya ingin melakukan cabaran tersebut pada April lalu selepas melakukan persediaan sejak November tahun lalu.
"Namun masalah kecederaan menghalang hasrat saya menyebabkan cubaan rekod ini hanya dapat dilakukan pada dua minggu lepas.
"Saya akui memang berdepan beberapa siri kecederaan sepanjang tempoh persediaan tapi ia tidak menghalang semangat untuk melakarkan rekod tersebut," katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu ditemui pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan oleh Influencer Book of World Records menerusi wakil di Malaysia iaitu Duta Besar Ketua Pengadil, Datuk Dr Nisha Kogila R dan Perunding Kanan Rekod MBOR, Edwin Yeoh di pekarangan Gimnasium Lifestyle Fitness yang turut dihadiri Ketua Cabang PKR Temerloh, R Maheswaran di sini, pada Ahad.
Jey yang masih bujang berkata, regim diet dan pengalaman sedia dalam aktiviti kecergasan yang diamalkan sejak remaja hingga kini banyak membantunya melakukan cabaran tersebut,
"Saya amalkan diet tanpa gula, garam dan makan lapan kali dalam sehari tapi dalam kuantiti sedikit untuk kekuatan fizikal.
"Gembira dan bangga kerana kali pertama rekod ini dilakarkan secara individu dan dilakukan oleh rakyat Malaysia, sebelum itu dilakukan secara berkumpulan," tambah Jey.
Ditanya perancangan beliau selepas ini, Jey memberitahu dalam perancangan ingin melakukan beberapa rekod lain.
Sementara itu, ibu Jey, S Sukunamalar, 65, bangga dengan kejayaan anak bongsunya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Pahang di peringkat antarabangsa.
"Sebenarnya saya tak sangka dia (Jey) boleh lakukan rekod ini dan saya menyokong segala minatnya selama ini," katanya.