SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli memperkenalkan ‘Agenda Hulu Kelang' iaitu rancangan gerak kerja sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Bersandarkan enam teras penting, agenda tersebut memberi fokus kepada usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti, menegakkan Islam sebagai cara hidup, memartabatkan wanita, memangkin potensi anak muda, merancakkan aktiviti ekonomi serta peluang kerjaya dan juga membela nasib Orang Asli.
Menurutnya, teras tersebut direka dengan teliti memenuhi pelbagai keperluan di kawasan berkenaan.
"Agenda Hulu Kelang mengambil pendekatan realistik, menggabungkan elemen praktikal dengan matlamat yang boleh dicapai dan diharapkan supaya dapat memberi manfaat kepada lebih 71,000 orang pengundi berbilang kaum di Hulu Kelang.
"Perancangan agenda berkenaan direka untuk memenuhi keperluan jangka masa pendek komuniti dan menawarkan solusi mampan untuk mencapai aspirasi jangka panjang penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Juwairiya berkata, agenda berkenaan merupakan perkhidmatan yang bakal ditawarkan selaras dengan perancangan lebih luas iaitu Lima Tekad Lima Tahun seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambahnya, Hulu Kelang juga mahu dibina sebagai kawasan hijau dengan cara melindungi Taman Melawati sebagai ekosistem semula jadi.
"Penting untuk kita seimbangkan antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan fungsi alam di dalam masyarakat moden kita. Saya akan berusaha untuk memenuhi keperluan ini.
"Saya percaya pengundi Hulu Kelang akan melihat agenda tersebut sebagai tanda komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi mereka dan diharapkan para pengundi mengundi berdasarkan fakta dan sikap rasional,” katanya.