IPOH - Bekas pemimpin UMNO yang menyertai parti pembangkang tidak layak untuk mengkritik UMNO hanya kerana tewas di dalam pemilihan parti sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Arrif Abdul Majid berkata, mereka yang menyertai parti pembangkang seperti bekas Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan Abd Shani seharusnya terus bergerak bersama pasukan baharu mereka tanpa menoleh ke belakang dengan menyalahkan parti lama.
Menurutnya, semua pihak menghormati keputusan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun itu menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tambun pada pemilihan parti sebelum ini.
"Jangan dek kerana kecewa dengan kekalahan dan tidak mempunyai jawatan dalam UMNO menyebabkan beliau menjadikan penyebab dan alasan bahawa parti UMNO sudah hilang prinsip yang menyebabkan beliau mengambil keputusan ini. Jika benar, sepatutnya enam bulan dahulu beliau sudah mengambil tindakan ini.
"Jika kita nak berhujah tentang siapa betul dan siapa salah mungkin tidak ada penghujungnya, masing-masing mempunyai pendirian, cuma jangan melampaui pendirian hanya kerana sudah berada di 'rumah' lain dan cuba untuk menjadi hero di 'rumah' baharu dengan mempergunakan alasan-alasan dangkal.
"Jika sudah berada di 'rumah' lain, jaga sahaja 'rumah' yang baharu, tidak perlu lagi ikut campur urusan 'rumah' lama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Arrif yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Perak turut meminta agar alasan-alasan lapuk menyalahkan UMNO untuk melompat ke parti pembangkang dihentikan oleh bekas-bekas pemimpin UMNO itu.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Faridzul Azlan yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, mengakui tidak sanggup menggadai prinsip dengan terus bersama UMNO yang disifatkan sudah tergelincir daripada perjuangan sebenar.
Beliau yang umum menyertai Perikatan Nasional (PN) berkata, perjuangan UMNO hari ini lebih kepada kepentingan individu yang hanya menguntungkan segelintir pemegang jawatan dan merugikan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.