TMJ pamer kemahiran tulis khat, kaligrafi Cina

Iklan
Tunku Ismail (tengah) mempamerkan kemahiran dalam seni khat. - Foto Kelab Media Johor

TANGKAK - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempamerkan bakat dalam seni khat Islam dan kaligrafi Cina semasa konvoi Diraja Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 singgah di Sawah Ring di sini, pada Isnin.

Penggiat seni khat, Sufian Kamaruddin, 39, berkata, dia mengakui gementar ketika menunjukkan cara menulis khat kepada Tunku Ismail.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Tunku Ismail. - Foto Kelab Media Johor

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, detik berkenaan akan dijadikan kenangan terindah dalam hidupnya kerana berpeluang menunjukkan cara menulis khat kepada Tunku Mahkota Johor itu.

"Tulisan yang mendapat sentuhan TMJ ini akan saya simpan dan masukkan ke dalam bingkai sebagai kenangan terindah.

Iklan

"Ini mungkin pengalaman pertama dan terakhir untuk diabadikan sepanjang hidup saya. Bukan senang nak berdepan secara depan-depan dengan Tunku Ismail,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Perasaan sama dikongsi Lee Chin Chok, 72, yang berpeluang menunjukkan kepada Tunku Ismail cara menulis kaligrafi Cina.

Iklan

Malah, Chin Chok mengakui gugup ketika memegang tangan Tunku Ismail bagi menunjukkan cara-cara mengecat tulisan Cina.

Chin Chook (kiri) menunjukkan cara-cara menulis kaligrafi Cina kepada Tunku Ismail. - Foto Kelab Media Johor

"Saya macam tak percaya dapat pegang tangan TMJ, sebelum ini memang tak pernah.

"Saya juga rasa bertuah kerana terpilih buat pameran di sini (Sawah Ring)," katanya.

Sawah Ring merupakan lokasi pertama hari ketiga KMJ 2023 yang akan merentasi tiga daerah dengan menempuh perjalanan 169 kilometer (km).

Berangkat sama ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Sebahagian peserta Sukan Rakyat di Sawah Ring. - Foto Kelab Media Johor

Sementara itu, Tunku Idris, Tunku Abu Bakar dan Dennis Muhammad turut berkenan menyaksikan pertandingan sukan rakyat iaitu menangkap ikan di dalam petak sawah, tarik tali serta boling sawah di lokasi berkenaan.

Rombongan konvoi KMJ 2023 meneruskan perjalanan ke destinasi kedua iaitu Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, Muar selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni rakyat pelbagai bangsa di Sawah Ring di sini.

Untuk rekod, KMJ yang memasuki edisi ke-23 sejak dianjurkan pada kali pertama pada 2001 merupakan cetusan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika baginda menjadi Tunku Mahkota Johor.

Pada edisi kali ini, KMJ diadakan selama empat hari yang diketuai Tunku Ismail akan menempuh perjalanan sejauh 879 km merentasi 10 daerah bermula Sabtu lalu dan akan berakhir pada Selasa.