PERENANG negara, Khiew Hoe Yan memperoleh pengalaman berharga ketika tampil kali pertama pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China kali ini.
Biarpun tidak berjaya menyumbang sebarang pingat buat negara, namun Hoe Yan tetap berpuas hati dengan prestasinya pada temasya tersebut.
Malah beliau menanam azam untuk beraksi dengan lebih baik pada Universaide akan datang.
"Ini penyertaan pertama saya di Unversiade. Satu pengalaman yang sangat baik dan prestasi saya juga agak baik di sini.
"Biarpun tak dapat sebarang pingat saya akan cuba pada Universiade yang akan datang,” ujar Hoe Yan.
Hoe Yan menutup tirai aksi atlet Malaysia menerusi acara 400 meter (m) rampaian individu di Pusat Akuatik Dong’an Lake Sports Park pada Isnin.
Dalam acara itu, Hoe Yan terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh dalam peringkat saringan dan ke-15 daripada 24 perenang secara keseluruhan.
Acara itu diungguli perenang Jepun, Tabuchi Kaito dengan catatan 4 minit 19.63 saat (s), manakala perak menjadi milik perenang Itali, Iere Andra dengan masa 4.20.53s.
Tempat ketiga pula diraih perenang Amerika Syarikat, Daigle Jared Bartley dengan masa 4.21.22s.
Biarpun gagal memenangi pingat, skuad renang yang hanya menghantar dua atlet berjaya memecahkan satu rekod kebangsaan menerusi perenang muda Bryan Leong.
Dia mencatat masa 24.35s dalam acara 50m kuak kupu-kupu sekali gus memecahkan rekod berusia 14 tahun milik Daniel Bego 24.38s yang dibuat dalam Kejohanan Dunia di Itali pada 2009.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Universiade adalah menerusi Jeffrey Ong pada Universiade Sheffield 1991 iaitu pingat perak menerusi acara 1500 meter gaya bebas.
Kontinjen Malaysia di Universiade Chengdu melakar pencapaian paling cemerlang dalam sejarah penyertaan menerusi masing-masing satu pingat emas dan perak serta lima gangsa.
Universiade Chengdu akan menutup tirai pada malam Selasa.