'Tak patut PM jawab begitu' - Baljit Singh

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Baljit Singh

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut supaya memohon maaf berikutan cara beliau menjawab soalan seorang pelajar disifatkan sebagai kasar ketika sesi dialog di kolej matrikulasi di Pongsu Seribu, Kepala Batas pada Sabtu.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Baljit Singh berkata, jawapan diberikan Anwar itu disifatkan tidak wajar dan menggambarkan tindakan tersebut seolah-olah seperti seorang 'pembuli'.

"Sebagai seorang Perdana Menteri, beliau tidak patut menjawab seperti itu terhadap seorang pelajar.

Iklan
Iklan

"Adakah Perdana Menteri tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda?

"Ini kerana penjelasan yang diberikan Anwar tidak rasional kerana ia bercampur dengan agenda politik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sabtu lalu, dalam sesi soal jawab di sebuah kolej matrikulasi, seorang pelajar perempuan bertanyakan sama ada kerajaan akan menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada golongan bumiputera dan menggantikannya dengan sistem meritokrasi.

Anwar bagaimanapun menghentikan pertanyaan tersebut sebelum pelajar itu cuba menjelaskan selain dia dilihat tergamam seketika selepas Anwar mencelah.

Iklan

Pelajar tersebut juga meminta diberi sedikit masa untuk menerangkan supaya soalannya tidak disalah tafsir.

Susulan daripada itu, Anwar dikritik kerana memberikan jawapan politik kepada soalan itu dengan mengatakan bahawa kerajaannya akan kalah dalam semua pilihan raya jika menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada pelajar bumiputera.

Dalam pada itu, Baljit yang juga calon Perikatan Nasional bagi kerusi Bukit Tengah berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar perlu memahami perasaan rakyat terutamanya pelajar yang sedang kecewa.

"Beliau perlu faham perasaan rakyat dan bukannya menjawab soalan dalam keaadan beremosi. Pelajar sekarang sudah matang dan mempunyai keinginan untuk memahami landskap politik Malaysia. Tingkah laku seperti itu amat memalukan.

"Di mana pendekar-pendekar DAP yang selama ini memperjuangkan hak sama rata di Malaysia? Di mana Timbalan Menteri Pendidikan daripada DAP?

"Adakah hanya diam membisu bersembunyi di belakang Anwar setelah menjadi kerajaan," katanya.