PH-BN sudah ada nama calon Menteri Besar Kelantan

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) selepas merasmikan Hari Potensi Kemas dan Program Desa Cerdas di Plaza IMT-GT Bukit Bunga, Tanah Merah pada Isnin.

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah ada senarai nama calon Menteri Besar Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, senarai itu bagaimanapun hanya akan diumumkan selepas Pakatan Harapan (PH)-BN menang pada pilihan raya negeri (PRN) ini pada 12 Ogos nanti.

Iklan
Iklan

"Kami sudah ada senarai tetapi akan umumkan apabila mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

"Kami tidak mahu mendahului takdir ALLAH dan pelantikan menteri besar perlu melalui titah dan perkenan Sultan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Program Desa Cerdas di Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga di sini, pada Isnin.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, senarai nama calon menteri besar tersebut telah dikemukakan oleh Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kepadanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mahu menumpukan terlebih dahulu kepada gerak kerja bagi memenangi sekurang-kurangnya lebih separuh kerusi di setiap enam negeri.

Iklan

"PH-BN menyasarkan untuk menang kerusi-kerusi mengikut kepada negeri-negeri misalnya Kelantan perlu 23 kerusi untuk membolehkan membentuk kerajaan atau Kedah sebanyak 19 kerusi,” kata Ahmad Zahid.

Sebelum ini, media melaporkan Pas Kelantan menjelaskan tidak perlu memberi bayangan siapa-siapa yang akan dipilih menjadi menteri besar di negeri itu selagi PRN belum selesai.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, tumpuan sekarang adalah kepada rakyat dan gerak kerja calon-calon untuk berdepan PRN.