GOPENG - Seorang bapa merayu anak lelakinya dapat dibebaskan segera selepas empat tahun ditempatkan di pusat tahanan imigresen kerana kesalahan tidak mempunyai kad pengenalan diri.
R Rama Chandran, 54, berkata, anaknya, R Tayalan yang kini berusia 26 tahun berdepan kekangan memperolehi kad pengenalan disebabkan dokumen sijil kelahiran yang tidak lengkap.
"Sebenarnya dia sudah berusaha untuk dapatkan kad pengenalan, tetapi tak berjaya kerana pada sijil kelahiran tiada maklumat lengkap ibu.
"Saya dan isteri sudah lama berpisah, itu sedikit sebanyak menyukarkan urusan hingga berlarutan dalam tempoh yang lama," katanya dalam sidang akhbar di Pondok Al Jaafar dekat sini pada Isnin.
Menurutnya, anak sulungnya itu memeluk Islam sejak berusia 12 tahun dan dihantar ke Pondok Al Jaafar untuk menimba ilmu dan mempelajari kemahiran di bengkel.
"Waktu tangkapan itu, dia dikatakan sedang tolong baiki kereta di sebuah bengkel rakannya di Klebang (Ipoh), kebetulan ada operasi polis dan disebabkan tiada kad pengenalan, dia terus ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pondok Al Jaafar, Mohamad Tarudi Bahari berkata, proses melengkapkan dokumen sijil kelahiran milik Tayalan atau nama Islamnya, Mohd Farid dilakukan pada Jun lalu.
Katanya, dokumen lengkap itu diperlukan bagi membolehkan proses seterusnya dilakukan Jabatan Imigresen.
"Sepanjang tempoh ini, kami jejaki ibu kandung Mohd Farid dan berjaya. Proses angkat sumpah di Jabatan Pendaftaran Negara sudah dibuat dan perlu menunggu September depan untuk pengeluaran sijil baharu.
"Kami harap usaha dilakukan ini dapat membantu Mohd Farid bebas, setakat ini kami tidak dimaklumkan dia lakukan kesalahan lain, hanya kerana tidak memiliki kad pengenalan sahaja," katanya.